Pihak kerajaan negeri akan berikan kerjasama penuh kepada kerajaan persekutuan seperti pengambilan tanah dan kebenaran kerja untuk menjayakan projek jalan di bawah Kementerian Kerja Raya. Dalam jawapan bertulis kepada saya, Menteri Kerja Raya Datuk Sri Fadillah Yusof menyatakan bahawa 7 projek bernilai RM1.96 bilion telah diluluskan untuk 2016-2017 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11. Akan tetapi hanya satu daripada 7 projek tersebut adalah projek baru iaitu projek jalan dari Jambatan Tuanku Abdul Rahman hingga Jambatan Merdeka Seberang Perai Utara dengan kos RM340.4 juta. Enam lagi projek yang disebut adalah projek sambungan. Sungguhpun begitu, kerajaan negeri ucapkan terima kasih kepada Kementerian Kerja Raya atas kelulusan projek ini dengan harapan lebih banyak projek jalan baru, dan bukan sambungan, perlu boleh diluluskan seperti
- Membina Jejambat Jalan Tun Dr Awang ke Relau
- Jejambat di Persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah/Jalan Tengah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
- “Underpass” Jalan Mahsuri ke Kampung Jawa di Bayan Baru
- Jejambat dari Jalan Permatang Pauh ke Jalan Tun Hussein Onn, Seberang Jaya ke Toll Juru
- Jalan Pintasan Jalan Permatang Tengah ke Seberang Jaya
- Peleberan Jalan Juru ke JalanTok Kanggar
- Pelebaran Jalan Kulim, Bukit Mertajam
- Menaik taraf jalan di taman perindustrian
- Jalan daripada Teluk Kumbar to Balik Pulau
- Pelebaran Jalan daripada Tanjung Tokong ke Batu Ferringhi dan Teluk Bahang
- Pelebaran Jalan Paya Terubong
- Jejambat Di Jalan Air Itam
Jawapan bertulis YB Menteri adalah seperti berikut:-
SOALAN NO.:186
PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BERTULIS
DARIPADA : TUAN LIM GUAN ENG
KAWASAN : BAGAN
SOALAN :
YB. TUAN LIM GUAN ENG [BAGAN] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan semua projek-projek jalan yang dirancangkan di Pulau Pinang pada tahun ini, termasuk lebuh raya RM300 juta di daerah Seberang Perai Utara yang diumumkan oleh YAB. Perdana Menteri baru-baru ini.
JAWAPAN
Tuan Yang Di-Pertua;
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat 7 projek dengan kos keseluruhan sebanyak hampir RM1.96 bilion telah diluluskan dalam Rolling Plan Pertama (2016-2017), RMKe-11 di bawah Kementerian Kerja Raya, iaitu seperti berikut:
- Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT006 Dari Teluk Kumbar Ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Kos Projek RM390 juta;
- Membina Jalan Dari 2 Lorong ke 4 Lorong Dari Jambatan Tuanku Abdul Rahman (Sek.757) Hingga Jambatan Merdeka (Sek.782) Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Kos Projek RM340.4 juta;
- Naik Taraf Bayan Lepas Expressway Daripada Batu Maung Ke Jambatan Pulau Pinang. Kos Projek RM373.2 juta;
- Menaik Taraf Laluan Persekutuan FT001 Dari Persimpangan Permatang Keling (Sek.720) Ke Jambatan Di Atas Sungai Junjung, Simpang Ampat (Sek.740), Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Kos Projek: RM344 juta;
- Membina Jejambat Menghubung Jalan Nangka – Jalan Perda Timur Merentasi Jalan Padang Lalang/ Jalan Permatang Rawa, Bukit Mertajam. Kos Projek RM184.8 juta;
- Membina ‘Flyover’ Merentasi Persimpangan Bulatan Batu Maung Dan Persimpangan P222/P10. Kos Projek RM165.944 juta; dan
- Menaik Taraf Jalan Negeri (P10) Daripada Batu Maung Ke Persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah, Pulau Pinang. Kos projek RM160 juta.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, projek lebuh raya baru di Seberang Perai Utara itu ialah merujuk kepada projek seperti bilangan no.2 di atas; iaitu Membina Jalan Dari 2 Lorong ke 4 Lorong Dari Jambatan Tuanku Abdul Rahman (Sek.757) Hingga Jambatan Merdeka (Sek.782) Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Projek ini telah diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan dalam tempoh RMKe-11 (2016-2020).
Sekian, terima kasih.