Kemiskinan merupakan sejenis penyakit dalam ekonomi sesebuah negara. Kemiskinan ini diukur berdasarkan kemampuan seseorang untuk mencari rezeki menampung keluarga dan dirinya. Kemampuan yang tinggi untuk mencari rezeki dikalangan penduduk sesebuah negara itu akan mengurangkan kadar kemiskinan negara itu,
Sebaliknya, jika ramai diantara penduduk negara itu menganggur atau menerima pendapatan yang rendah dan sukar untuk menampung perbelanjaan sara hidupnya, maka ini akan meningkatkan kadar kemiskinan negara itu.
Setiap negara berusaha untuk memerangi penyakit kemiskinan itu. Membasmi kemiskinan menjadi agenda utama dikalangan negara-negara membangun dan negara-negara mundur. Negara-negara maju jarang menghadapi masalah ini, walau bagaimanapun ia juga tidak dapat membasmi 100% kemiskinan di negara itu.
Negara kita sebuah negara membangun yang mengejar status negara maju menjelang tahun 2020 juga tidak terlepas daripada fenomena kemiskinan ini. Walaupun pelbagai statistik positif yang disediakan oleh kerajaan untuk mengambarkan keadaan kemiskinan dalan negara kita, tetapi pada realitinya jumlah keluaraga yang hidup dalam kesusahan adalah terlalu banyak. Angka-angka yang ditunjukkan oleh kerajaan tidak menggambarkan keadaan yang sebenar.
Pendapatan Garis Kemiskinan yang digunakan oleh kerajaan untuk mengukur kemiskinan dan kemiskinan tegar di negara kita merupakan satu kaedah yang lapuk dan perlu dikaji semula. Kaedah ini tidak dapat mengukur kemiskinan dengan mengambil kira perubahan-perubahan sosio-ekonomi dan teknologi negara secara menyeluruh. Mekanisme ini hanya melihat kemiskinan dalam satu perspektif yang sempit.
Saya difahamkan bahawa kerajaan telah membangunkan Indeks Kemiskinan Multidimensi dengan kerjasama Oxford Poverty and Human Development Initiative bagi melengkapi kaedah pengukuran kemiskinan berasaskan pendapatan garis kemiskinan di negara kita.
Kaedah baru ini sememangnya boleh menganalisa status kemiskinan dengan lebih terperinci termasuk mengenalpasti intensiti ketersisihan yang dialami oleh golongan miskin daripada pelbagai dimensi. Cara ini membolehkan kerajaan membuat perancangan dan menyalurkan bantuan secara khusus kepada kumpulan sasaran.
Adakah kerajaan telah melaksanakan penggunaan Indeks Kemiskinan Multidimensi ini? Jika ya, sejauh manakah keberkesanannya dalam menyediakan Rancangan Malaysia Kesebelas? JIka tidak dilaksanakan lagi, kenapa?