Skip to content

Surat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengenai Pembenihan Awan

PSUKPP/21/0353/36 Klt.2 (2)

15 April 2016

YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA)
Aras 6, Blok E4/5,
Kompleks Kerajaan Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62668 PUTRAJAYA
[No. Faks: 03 – 8889 3712]

YB Datuk Seri Panglima,

PERMOHONAN UNTUK MENYEGERAKAN PEMBENIHAN AWAN SECARA BESAR-BESARAN UNTUK MENGELAK BENCANA KETIADAAN AIR BAGI 4 JUTA PENDUDUK UTARA MALAYSIA

Dengan segala hormatnya kami ingin merujuk kepada permohonan segera di atas memandangkan kapasiti efektif Empangan Beris di Kedah kini telahpun turun ke paras 38.3% sehingga 14 April 2016 (ataupun memadai untuk 37 hari sahaja). Seperti yang sedia maklum, Empangan Beris adalah empangan utama untuk Lembangan Sungai Muda.

2. Ketika musim kemarau, air dilepaskan dari Empangan Beris untuk mengekalkan paras Sungai Muda agar Kedah dan Pulau Pinang boleh mengambil air dalam kuantiti yang mencukupi bagi memenuhi permintaan bekalan air yang meningkat. Lebih daripada 80% daripada air mentah Pulau Pinang diambil daripada sungai ini setiap hari. Tanpa hujan yang lebat, krisis ketiadaan air merupakan ancaman besar kepada rakyat di sini.

3. Berdasarkan kapasiti efektif semasa, Empangan Beris mempunyai air yang mencukupi untuk tempoh 37 hari. Ini bermakna air untuk diekstrak oleh Kedah dan Pulau Pinang hanya mencukupi sehingga minggu ketiga Mei 2016 sahaja. Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi menyatakan fenomena ‘Super El Nino’ akan terus berlaku hingga Jun 2016.

4. Kebiasaannya, kita akan menjangkakan hujan yang ketara pada bulan April, selepas musim kering pada Januari – Mac. Bagaimanapun, jumlah hujan April 2016, setakat ini kurang daripada 50% daripada purata yang pernah dicatatkan.

5. Jadual di bawah menunjukkan perbandingan hujan yang direkodkan di empangan utama Pulau Pinang bagi tahun-tahun berikut:

Purata April 2005 – 2013 April 2014 April 2015 1-14 April 2016
Empangan Air Itam 244mm 274mm 200mm 59mm
Empangan Teluk Bahang 423mm 239mm 955mm 91mm
Empangan Mengkuang 298mm 260mm 372mm 23mm

6. Adalah jelas bahawa ‘Super El Nino’ menyebabkan perubahan drastik dalam corak taburan hujan di Pulau Pinang tahun ini. Senario hujan yang kurang juga berlaku di Perlis dan Kedah. Tanpa hujan yang lebat amatlah diperlukan usaha pembenihan awan dijalankan dengan serta-merta sekarang. Tanpa hujan lebat, penduduk di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang mungkin menghadapi ketiadaan air sebelum berakhir musim ‘Super El Nino’.

7. Pembenihan awan besar-besaran ini akan turut memberi faedah kepada 4 juta penduduk bahagian Utara Malaysia, termasuk negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Kegagalan menjalankan pembenihan awan secara besar-besaran mengundang kemungkinan catuan air perlu dijalankan mulai bulan Mei di Perlis dan Kedah terlebih dahulu.

8. Kami berharap Kerajaan Persekutuan akan bertindak segera untuk mengelakkan krisis ketiadaan air secara besar-besaran di rantau ini dengan melaksanakan langkah-langkah berikut, sebagai tambahan kepada pembenihan awan:

  • Mengarahkan semua operator bekalan air untuk mengurangkan aliran keluar dan bekalan untuk ‘hanya mencukupi’ bagi memenuhi permintaan air.
  • Menggalakkan pengguna untuk jimat air dan menggunakan air secara berhemah.

Sekian, terima kasih.

Yang ikhlas,

(LIM GUAN ENG)
Ketua Menteri Pulau Pinang