Kerajaan Negeri Pulau Pinang kesal dengan sikap tidak profesional pihak Kementerian Pengangkutan yang cuba mengelak daripada bertanggungjawab ke atas skandal RM43 juta Tanjung City Marina dan kerja pemulihannya dengan menyalahkan Kerajaan Negeri.
Alasannya adalah masalah hak milik tanah dengan Kerajaan Negeri belum diselesaikan sungguhpun tapak Tanjung City Marina dimiliki sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan bukannya Kerajaan Negeri.
Tanjung City Marina telah tenggelam sepenuhnya di laut pada 2012 bersama dengan perbelanjaan RM43 juta juga hilang kerana perancangan yang cacat dan ketidaksediaan untuk membina “wave breaker” seperti yang dicadangkan.
Pihak SPPP dan Kementerian Pengangkutan telah berjanji untuk memulih dan membina semula Tanjung City Marina tetapi sehingga hari ini semuanya tinggal janji kosong. Kerajaan Negeri agak terkejut bahawa isu hak milik tanah Swettenham Pier Cruise Terminal kini digunakan sebagai alasan sungguhpun ia tidak menjadi masalah apabila Tanjung City Marina dibina buat kali pertama pada 2005.
Kerajaan Negeri enggan menjual tanah di Swettenham Pier Cruise Terminal kepada SPPP kerana tidak berpuas hati dengan pengurusannya dan ingin memegang hak milik tanah untuk tapak itu. SPPP telah mencabar keengganan Kerajaan Negeri memindah milik tanah di Mahkamah Tinggi tetapi telahpun kalah dan tidak meneruskan sebarang rayuan.
Lagipun tapak Tanjung City Marina adalah milikan penuh SPPP yang tidak pernah dipertikaikan oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri tidak akan memberikan sebarang halangan kepada sebarang kerja pemulihan atau pembinaan semula. Sekiranya pihak Kementerian hendak mencari alasan baru tidak membina semula Tanjung City Marina, iaitu satu pembangunan bersepadu yang menyeluruh mesti dibuat terlebih dahulu yang merangkumi Tanjung City Marina, soalan ialah mengapa tender terbuka yang dipanggil oleh bekas Pengerusi SPPP Tan Sri Dr Chua Soi Lek mengenai rancangan serupa ini tidak disempurnakan.
Jelas sekali SPPP “pukul mulut sendiri” dan cuba menegakkan benang yang basah dengan menyalahkan Kerajaan Negeri dalam isu hak milik tanah di Swettenham Pier Cruise Terminal sebagai alasan mengapa Tanjung City Marina tidak dibina semula. Jawapan bertulis Parlimen oleh Menteri Pengangkutaan Datuk Seri Liow Tiong Lai kepada saya adalah seperti berikut:
PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BAGI JAWAB BUKAN LISAN
DARIPADA : TUAN LIM GUAN ENG [BAGAN]
SOALAN : 185
Tuan Lim Guan Eng [Bagan] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan apakah hasil siasatan dan tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam skandal RM43 juta Tanjung City Marina. Apakah status tender terbuka yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang untuk membangunkan kawasan Waterfront Swettenham Pier ataupun rancangan membina semula Tanjung City Marina yang tenggelam ke dalam laut.
JAWAPAN
Ahli Yang Berhormat,
Tanjung City Marina telah berjalan dan beroperasi dengan lancar sejak tahun 2005. Walau bagaimanapun berlaku kerosakan pada sebahagian struktur cerucuk dan beberapan pontoon berikutan keadaan rebut yang luar biasa pada tahun 2007 dan 2012.
Pada awal 2013, pontoon-pontoon ini telah dibuka dan didaratkan bagi memastikan struktur yang rosak tersebut tidak hanyut dan membahayakan pelayaran kapal-kapal lain. Memandangkan kerosakan di Tanjung City Marina adalah disebabkan oleh keadaan ribut yang luar biasa, maka persoalan terhadap tindakan kepada kontraktor yang terlibat tidak timbul.
Sememangnya terdapat perancangan bagi membangunkan semula kawasan sekitar Swettenham Pier Cruise Terminal yang merangkumi Tanjung City Marina dan gudang-gudang lama dalam satu pembangunan yang menyeluruh. Walau bagaimanapun, terdapat isu hakmilik tanah di Swettenham Pier Cruise Terminal yang masih belum diselesaikan antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang. Sehubungan itu, rancangan pembangunan bersepadu tersebut ditangguhkan dahulu sehingga isu hak milik tanah berkenaan diselesaikan.