Alam sekitar adalah kurniaan Tuhan Yang Maha Kuasa. Adalah tanggungjawab semua pihak untuk menjaga kebersihan dan keselamatan alam sekitar. Pencemaran alam sekitar bukanlah fenomena baru. Pencemaran yang keterlaluan akan merugikan semua pihak walaupun mereka tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti yang merosakkan alam sekitar.
Pada kebiasaanya, orang-orang yang cenderung untuk mencemarkan alam sekitar adalah golongan yang ingin mengaut keuntungan yang lumayan dan mengabaikan tanggungjawab sosial.
Dalam mengejar pembangunan dan kemajuan yang pesat, sering kali kita melupakan fungsi alam sekitar yang sihat. Gangguan kepada eko-sistem pasti akan memudaratkan maya pada ini.
Orang ramai perlu sentiasa berwas-was tentang isu-isu berkenaan dengan alam sekitar di tempat kediaman dan pekerjaan mereka. Adalah wajib untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika mereka mendapati ada pihak-pihak tertentu mencemarkan alam sekitar. Setiap orang harus menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan dan kebersihan alam sekitar.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar juga harus peka kepada aduan-aduan dan rintihan orang ramai mengenai sesuatu isu pencemaran alam sekitar. Adalah tidak wajar sama sekali untuk menolak aduan yang dibuat oleh orang ramai itu kepada pihak-pihak lain seperti Kerajaan Tempatan dan sebagainya.
Apabila sesuatu isu alam sekitar ditujukan, kementerian ini harus memainkan peranan sebagai organisasi yang bertanggungjawab untuk mengatur, menyiasat, melapor dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Jika pencemaran itu melibatkan bidangkuasa Kerajaan Tempatan, pihak Kementerian juga harus memantau kes yang dilaporkan kepadanya sehingga masalah itu diatasi oleh pihak Kerajaan Tempatan. Kementerian tidak seharusnya mencuci tangan walaupun masalah yang diadu itu terletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Tempatan atau agensi-agensi yang lain.
Pada 10 Jun 2014, saya telah menanyakan Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar di Dewan Rakyat supaya menyatakan semua kes di mana Kementerian menggunakan Seksyen 47 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jumlah tuntutan kes pembersihan dan pelupusan buangan kepada mereka yang bertanggungjawab melakukan pencemaran bagi tujuan pemuliharaan alam sekitar. Saya juga telah menanyakan tentang kelemahan seksyen ini.
Menteri menjawab bahawa Sekseyen 47 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 diguna pakai bagi menuntut kes ke atas kerja-kerja pembersihan dan pelupusan buangan terjadual yang telah berlaku yang tidak melebehi 6 tahun.
Menurutnya, sepanjang tahun 2013 sehingga 10 Jun 2014, tiada sebarang kes pelupusan barang buangan terjadual yang dikesan oleh Jabatan Alam Sekitar (tidak ada maklumat dari 11 Jun 2014 sehingga hari ini)
Walau bagaimanapun, saya dimaklumkan oleh Menteri bahawa Jabatan Alam Sekitar melalui Jabatan Peguam Negara sedang menuntut semula kos pembersihan dan pelupusan buangan terjadual ke atas 4 kes yang berlaku sebelum tahun 2013 memlalui tuntutan sivil. Menteri juga berkata, pihak Jabatan Alam Sekitar tidak menghadapi sebarang masalah dalam pelaksanaan Seksyen 47 ini setakat ini.
Pertama sekali saya ingin mengetahui samada terdapat kes-kes baru di bawah Seksyen 47 Akta Kualiti Sekeliling 1947 iaitu Sejak 11 Jun 2014 sehingga kini. Jika ada, saya ingin mengetahui statistik kes-kes tersebut dan tindakan yang telah diambil oleh kerajaan. Jika tidak, adakah ini bermakna negara kita bebas daripada mana-mana pihak melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47 ini.
Saya akan menulis secara rasmi kepada Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan semasa yang melibatkan Sekyen 47 Akta ini.