Menteri kesejahteraan bandar, Perumahan dan kerajaan tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan patut sedar yang beliau telah gagal sebagai seorang menteri dan gagal menepati kata-kata beliau sendiri apabila bertindak seperti pengecut dan lari setelah mencabar saya berdebat.
Datuk Abdul Rahman beralasan yang kononnya dengan meneruskan debat ini, beliau memberi isyarat yang salah kepada rakyat yang seorang menteri boleh mengabaikan nasihat pihak berkuasa seperti SPRM dan Ketua Polis Negara (KPN).
Abdul Rahman perlu ingat yang beliau mencabar saya pada 6 April 2016 dan saya segera menyahut cabaran itu pada 7 April 2016. Pada ketika itu, SPRM dan KPN belum mengeluarkan apa-apa nasihat kenyataan nasihat sementara RTM dan TV3 telah menawarkan ruang untuk menyiarkan debat ini secara langsung. Abdul Rahman sebaliknya mengkhianati cabaran sendiri dan terus melarikan diri ke luar negara.
Debat ini dibatalkan kerana kononnya ia menyebabkan prejudis terhadap penyiasatan yang sedang berlangsung sedangkan TV3 tiap malam terus menyerang saya sekurang-kurangnya 15 minit di Buletin Utama. Hanya apabila Abdul Rahman tiada pilihan melainkan untuk berdebat, beliau tanpa segan silu menggunakan alasan terpaksa mengikuti nasihat SPRM dan KPN. Malangnya, TV3 terus menyerang saya setiap malam sehingga hari ini.
Jika Abdul Rahman benar-benar bersungguh mahu mendengar nasihat pihak berkuasa, beliau juga patut mendengar nasihat Speaker Parlimen, Tan Sri Amin Pandikar agar beliau menarik semula perkataan yang kurang wajar digunakan di parlimen terhadap saya. Kegagalan beliau menarik balik perkataan itu sebaliknya membuatkan saya dikeluarkan dari Parlimen, satu tindakan tidak adil dimana mangsa dihukum sedangkan Menteri yang jelas melakukan kesalahan.
Saya tidak bacul dan tidak pernah melarikan diri dari disiasat, sebaliknya sentiasa memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa. Tidak seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan skandal 1MDB yang dikatakan mencecah RM50 bilion dan skandal derma RM2.6 bilion, saya sedia dan berani berhadapan dengan penuduh dalam debat terbuka agar kita dapat sama-sama mencari dan menegakkan kebenaran.
Sewajarnya, saya patut menasihati Abdul Rahman agar periksa fakta sebelum mencabar sesiapapun berdebat kerana melarikan diri seperti ini bukan saja memalukan malah membuatkan beliau kelihatan seperti penakut.