Adakah hukuman gantung sampai mati merupakan satu jalan penyelesaian bagi masalah jenayah di negara kita? Ramai yang tidak bersetuju dengan undang-undang kolot yang tidak berkeperimanusiaan ini. Undang-undang ini tidak lagi diguna pakai di banyak negara maju yang menghormati hak asasi manusia.
Tetapi, Malaysia sebuah negara yang moden masih berpegang kepada undang-undang kolot ini. Undang-undang zalim seperti ini mempunyai banyak kelemahannya. Sudah tiba masa kepada rakyat Malaysia untuk mendesak kerajaan supaya menghapuskan hukuman gantung sampai mati.
Di Malaysia, pada umumya mahkamah menjatuhkan hukuman mati bagi kesalahan-kesalahan berkaitan dengan membunuh dengan niat, pengedaran dadah melebehi jumlah tertentu, pemilikan senjata api dan penculikan. Seseorang tertuduh akan melalui beberapa peringkat perbicaraan terlebih dahulu sebelum hukuman mati dikenakan.
Seseorang yang dihukum gantung sampai mati oleh mahkamah, dari aspek perundangan yang dilalui oleh mereka memakan masa yang panjang. Didapati purata seseorang itu menjalani hukuman mati dari tarikh mula jatuhkan hukuman adalah berbeza-beza dan mengambil masa bertahun-tahun iaitu di antara 2 hingga 8 tahun.
Hukuman mati di Malaysia dijalankan sebagaimana diperuntukan dalam Seksyen 281 Kanun Tatacara Jenayah. Walau bagaimanapun undang-undang tidak mengenakan hukuman mati terhadap wanita hamil, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dan orang berpenyakit mental atau tidak siuman.
Berikut adalah senarai kesalahan jenayah yang membawa hukuman mati :-
- Melancarkan perang terhadap Yang Dipertuan Agong (Seksyen 121 Kanun Keseksaan)
- Kesalahan terhadap Raja ( Seksyen 121A Kanun Keseksaan)
- Bersubahat bagi Angkatan Bersenjata (Seksyen 132 Kanun Keseksaan)
- Pembunuhan (Seksyen 302 Kanun Keseksaan)
- Menyubahati membunuh diri (Seksyen 305 Kanun Keseksaan)
- Menculik atau melarikan untuk membunuh (Seksyen 374A Kanun Keseksaan)
- Tebusan (Seksyen 374A Kanun Keseksaan)
- Geng rompakan dengan pembunuhan (Seksyen 396 Kanun Keseksaan)
- Pengedaran dan penyeludupan dadah (Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952)
- Pemilikan senjata api (Seksyen 57 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960)
Mengikut satu statistik yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri di Parlimen, sejak tahun 2010 hingga 22 Februari 2016 seramai 829 banduan telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati. Dalam tempoh yang sama, hukuman mati telah dilaksanakan terhadap 12 banduan, manakala 95 banduan pula telah diberikan pengampunan atau peringanan hukuman setelah mereka mengemukakan petisyen atau rayuan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri.
Hukuman gantung sampai mati ini adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia. Hukuman ini ditentang oleh pelbagai organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Sering kali kita mendengar bantahan keras daripada Amnesty International yang amat menentang undang-undang yang kejam ini.
Walaupun banyak negara Asia seperti Bangladesh, Brunei, China, Filipina, Jepun, India, Myanmar, Singapura, Negara Thai dan lain-lain lagi masih mengamalkan hukuman mati ini, Malaysia harus menghapuskannya untuk menjadi negara teladan kepada negara-negara berkenaan.
Kenapa kita harus menghapuskan undang-undang ini? Pernah berlaku seseorang yang tidak bersalah telah dijatuhkan hukuman mati. Seseorang tertuduh menjadi mangsa situasi dan akhirnya dijatuhkan hukuman mati bagi sesuatu kesalahan yang tidak dilakukannya. Perkara seperti ini pernah berlaku di banyak negara dan sejarah boleh membuktikannya.
Kesilapan teknikal mahupun kepintaran pengamal undang-undang juga boleh menyebabkan seseorang yang tidak bersalah dijatuhkan hukuman. Menghukum seseorang yang tidak bersalah adalah amat bertentangan dengan sistem keadilan umat manusia mahupun hukum-hukum Tuhan Yang Maha Kuasa. Ini adalah alasan yang mencukupi untuk menghapuskan hukuman mati ini.
Pada 18 Disember 2014, United Nation General Assembly (UNGA) telah mengesahkan bagi kali ke 5 sejak tahun 2007 untuk memberhentikan semua hukuman mati. Pada tahun itu, 117 buah negara telah menyokong untuk menghapuskan hukuman mati, manakala 38 buah negara telah membantah resolusi itu. 34 buah negara berkecuali dan 4 buah negara tidak hadir sewaktu pengundian.
Setiap kali resolusi ini dibentangkan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, jumlah undi bagi menyokongnya semakin meningkat. Pola global adalah meningkat secara berterusan untuk menghapuskan undang-undang zalim ini. (maklumat disahkan oleh Anti Death Penalty Asia Network – ADPAN)
10 Oktober merupakan Hari Sedunia Menentang Hukuman Mati. Harap kerajaan Malaysia akan mengambil inisiatif-inisiatif awal dengan segera sejajar dengan kemahuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kerajaan harus meminda undang-undang negara sebagai satu komitmen menghormati hak asasi manusia yang dijunjung oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Saya berharap kerajaan secara serius dan jujur mengumumkan persetujuannya untuk menghapuskan hukuman mati pada 10 Oktober 2016 tahun ini. Saya juga mendesak kepada kerajaan supaya meminda semua undang-undang yang berkaitan dengan hukuman mati pada tahun ini juga.