SJKT Slim River merupakan sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan yang lama dibina pada tahun 1954 iaitu sebelum merdeka lagi. Saya telah menerima aduan mengenai masalah anai-anai di sekolah tersebut. Saya telah membuat lawatan ke sekolah berkenaan untuk memastikan keadaan. Saya mendapati aduan yang yang saya terima itu adalah benar.
Sebahagian daripada bangunan sekolah berada dalam keadaan bahaya kerana reput dimakan anai-anai. Beberapa kali bumbung runtuh tetapi tidak mengakibatkan sebarang kemalangan atau kecederaan. Walau bagaimanapun, bangunan itu berada dalam keadaan yang bahaya dan boleh menyebabkan sesuatu yang tidak diingini berlaku pada bila-bila masa.
Pada 12 Januari 2011, pihak Jabatan Kerja Raya Batang Padang telah merumuskan bahawa keadaan SJKT Slim River adalah pada tahap yang kurang baik, tidak sesuai untuk diduduki dan disyorkan roboh. Laporan pemeriksaan ini telah disahkan oleh Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya Batang Padang. Surat Sijil Tidak Selamat Untuk Blok Bangunan Lama juga telah diterima oleh pihak sekolah pada 23 Februari 2012.
Saya amat khuatir tentang keselamatan penghuni sekolah termasuk 200 orang anak murid dan 22 orang guru serta beberapa orang kakitangan yang lain. Ibubapa juga telah meluahkan perasaan takut dan bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka.
Perkara ini telah dibawa kepada perhatian Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang. Namun, tidak ada apa-apa tindakan untuk menyelesaikan masalah ini.
Saya difahamkan bahawa masalah tentang bangunan sekolah dan keselamatan murid-murid itu telah dibawa kepada perhatian Dato K. R. A. Naidu, Pengerusi MIC Bahagian Tanjong Malim ketika itu. Beliau tidak mengambil peduli tentang perkara tersebut. Inilah sikap pemimpin MIC yang gagal memperjuangan hak rakyat.
Kemudian, masalah yang sama juga telah dibawa kepada perhatian Tan Sri Ramasamy yang menjadi Pengerusi baru MIC, Bahagian Tanjong Malim. Beliau juga tidak melakukan apa-apa.
Selain daripada itu, masalah keselamatan bangunan sekolah SJKT Slim River ini juga telah dibawa kepada perhatian Dato Dr Subramaniam, Presiden MIC. Oleh kerana beliau amat sibuk dengan masalah pertelingkahan dalaman parti MIC, beliau juga telah mengabaikan keselamatan anak-anak kita di sekolah tersebut.
Akhir sekali, masalah ini telah dibawa kepada perhatian Datuk P. Kamalanathan, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia. Seperti biasa, beliau juga tidak peka kepada masalah masyarakat India. Beliau mungkin amat sibuk membodek pemimpin-pemimpin UMNO, mencari tangan untuk diciumnya.
Saya difahamkan Timbalan Menteri itu telah memberitahu pihak sekolah bahawa tidak ada peruntukan kewangan buat masa ini. Pihak sekolah diminta untuk sabar menunggu sehingga peruntukan diluluskan pada tahun ini. Adakah peruntukan akan keluar tahun ini? Atau satu lagi janji kosong MIC?
Sudah lebih 5 tahun berlalu tetapi masih tidak ada apa-apa tindakan diambil. Apakah kerajaan hanya akan bertindak setelah sesuatu mala petaka menimpa di sekolah itu? Pihak kerajaan telah dengan cuainya mengabaikan keselamatan 200 orang murid dan 22 orang guru di SJKT Slim River. MIC yang kononnya memperjuangan hak masyarakat India di negara ini masih tidur lagi.
Saya juga rasa amat kesal dan kecewa dengan sikap Ahli Parlimen Tanjong Malim, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang langsung tidak prihatin mengenai nasib sebuah sekolah Tamil dan keselamatan murid-muridnya di kawasan mereka.
Saya mendesak supaya tindakan segera diambil untuk membina bangunan baru mengantikan bangunan lama yang reput. Saya akan berusaha membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat dalam persidangan yang akan bermula pada 16 Mei 2016.