Pada mesyuarat Parlimen kali ini, saya telah mengemukakan soalan meminta Kerajaan menyatakan jumlah “cukai minyak,” iaitu lebihan antara harga runcit petrol dan diesel dengan harga sebenar, yang telah dikutip sejak sistem apungan terkawal ataupun managed float system diperkenalkan pada akhir tahun 2014.
Malangnya, jawapan yang saya terima pada 17 Mei 2016 daripada Menteri Kewangan sekadar berdolak-dalik dan tidak menjawab soalan yang diutarakan. Menurut kenyataan Menteri, sistem apungan terkawal yang dilaksanakan menggunakan “purata bulanan perubahan kos produk petroleum dan kadar pertukaran mata wang” ringgit dengan US dolar dalam bulan sebelumnya untuk menentukan harga pada bulan berikutnya.
Tambahan lagi, Menteri menerangkan bahawa “memandangkan volatility harga minyak dan kadar pertukaran mata wang dalam pasaran, maka akan berlaku keadaan di mana terdapat sedikit subsidi atau lebihan.” Jawapan Menteri turut menjelaskan bahawa “subsidi berlaku apabila harga runcit yang ditetapkan adalah lebih rendah daripada harga sebenar dalam bulan semasa, manakala lebihan pula berlaku apabila harga yang ditetapkan adalah lebih tinggi….”
Dalam erti kata lain, Menteri telah mengakui bahawa memang berlaku kesenjangan antara harga runcit dan harga sebenar. Apabila harga runcit adalah lebih tinggi, maka Kerajaan akan mengaut keuntungan dalam bentuk lebihan yang boleh dinamakan sebagai “cukai minyak.”
Justeru, rakyat berhak dimaklumkan jumlah “cukai” atau keuntungan yang dikutip oleh Kerajaan. Namun begitu, jawapan yang saya terima langsung tidak memberi perangkaan yang diminta, malah hanya memperlekehkan pertanyaan yang diutarakan dengan menyatakan bahawa kesenjangan harga runcit dengan harga sebenar itu hanya “faktor penyelarasan harga semata-mata” dan oleh itu “cukai minyak” tidak berbangkit.
Saya menggesa Kerajaan agar tidak berdolak-dalik dan sebaliknya memberitahu rakyat berapa banyak jumlah keuntungan yang dikaut melalui cukai tersembunyi ini. Sudahlah rakyat dibebani dengan cukai GST, kini kita terpaksa juga menanggung “cukai minyak.”