Skip to content

Ucapan Penggulungan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Persidangan DUN Pulau Pinang

Yang Berhormat Dato’ Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi – tinggi tahniah kepada semua Ahli Yang Berhormat kerana telah turut serta mengambil bahagian dalam sesi Perbahasan ke atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Sempena Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Yang Ketiga Belas Negeri Pulau Pinang dengan hati dan minda yang terbuka.

Kerajaan Negeri bertekad untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pilihan utama bagi pelabur, pelancong dan juga bandaraya berdaya huni di Malaysia. Kerajaan Negeri memberikan penekanan kepada tiga bidang utama iaitu tata kelola kerajaan yang baik; membina modal insan; serta membangunkan infrastruktur dan digital connectivity. Dalam usaha ini Kerajaan Negeri telah melaksanakan urustadbir CAT (Cekap, Akauntabel dan Telus) sebagai teras pentadbiran untuk menghadapi 3 cabaran utama yang digariskan sebaik Kerajaan Negeri memenangi tampuk pemerintahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Cabaran 3C adalah cleanliness (kebersihan), crime (jenayah) dan congestion (kesesakan lalulintas). Kemudian timbul pula cabaran membekalkan perumahan awam dan mampu milik. Secara keseluruhan, semua cabaran ini ditangani kecuali masalah kesesakan trafik. Pulau Pinang kini lebih bersih dan selamat atas kerjasama rakyat, pihak berkuasa tempatan MBPP dan MPSP, pihak polis dan sektor swasta. Peruntukan Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik sebanyak RM500 juta, iaitu jumlah paling besar oleh mana-mana Kerajaan Negeri, membolehkan PDC bersama dengan pihak swasta membina hampir 45,000 unit rumah untuk memenuhi aspirasi ‘satu keluarga satu rumah’.

Masalah trafik membelenggu pembangunan ekonomi yang mampan bagi Pulau Pinang. Pulau Pinang sebenarnya mangsa kejayaan sendirinya dalam menarik pelabur, pelancong dan bandaraya berdaya huni sehingga jumlah kenderaan yang masuk ke Pulau Pinang bertambah besar setiap tahun. Penyelesaiannya adalah satu sistem pengangkutan awam yang berkesan, efisyen dan diyakini. Buat masa kini Pulau Pinang disenaraikan oleh Knight Frank, sebuah syarikat perunding hartanah antarabangsa sebagai tapak pelaburan yang paling baik di Malaysia. Buat pertama kalinya mendahului Kuala Lumpur. KL mendapat tempat kedua dengan 56% undi, sedangkan Pulau Pinang memperolehi 67% undi. Cuba bayangkan tanpa sistem pengangkutan awam sepertimana yang dinikmati oleh KL, Pulau Pinang masih boleh mendahului KL. Sekiranya mempunyai sistem pengangkutan awam, pastilah iklim ekonomi Pulau Pinang akan memecut ke langit seperti roket!

Itulah sebabnya Kerajaan Negeri memberikan penekanan kepada pembangunan infrastruktur yang bertaraf antarabangsa. Kaedah paling utama dalam pembangunan infrastruktur adalah tender terbuka dan Request for Proposal (RFP). Penggunaan kaedah ini buat pertama kali dalam sejarah Malaysia telah menarik perhatian dan menerima pujian daripada Transparency International. Penjimatan daripada pelaksanaan tender terbuka membolehkan Kerajaan Negeri menunaikan janji tidak mengenakan tol untuk lebuhraya atau jambatan yang dibina bukan seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN. Hanya sistem pengangkutan awam seperti LRT/monorel/tram atau kereta kabel dan terowong bawah dasar laut yang pertama di Malaysia akan dikenakan tol.

Saya rasa kecewa apabila ada Menteri BN yang mengkritik Kerajaan Negeri mengenakan tol untuk terowong bawah dasar laut daripada Persiaran Gurney ke Bagan Ajam apabila mereka sebenarnya adalah jaguh tol. Saya ingin nyatakan bahawa Kerajaan Negeri tidak mempunyai pilihan melainkan membina terowong bawah dasar laut kerana sukar untuk mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan BN untuk membina jambatan. Di bawah perjanjian yang ditandatangani oleh Kerajaan Negeri BN dahulu, persetujuan oleh Kerajaan Persekutuan mestilah diperolehi terlebih dahulu untuk membina jambatan di antara pulau dan Seberang Perai, tetapi ia tidak merangkumi pembinaan terowong bawah dasar laut. Tol dikenakan untuk terowong bawah dasar laut agar tidak melawan dan mencabar tol yang dikutip oleh Jambatan Pertama dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua) dan kerana kosnya hampir tiga kali ganda lebih tinggi daripada jambatan.

Saya ingin mengutarakan satu cabaran atau permintaan. Sekiranya Kerajaan Persekutuan boleh memberikan kelulusan kepada Kerajaan Negeri untuk membina jambatan bagi menggantikan terowong bawah dasar laut maka Kerajaan Negeri bersedia menimbang untuk tidak mengenakan tol untuk jambatan ketiga di antara Persiaran Gurney dan Bagan Ajam. Adakah Kerajaan Persekutuan rela berbuat demikian?

Kerajaan Negeri memperkenalkan model pembangunan yang bersih, telus, akauntabel dan paling penting sekali cekap dan bijak membuat kerja. Saya berasa kesal bahawa ada pihak NGO yang senada dengan UMNO yang memperkotak-katikkan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) bernilai RM27 bilion sebagai gajah putih sungguhpun ia masih belum menerima kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan. Saya masih ingat kritikan yang sama dilemparkan kepada Kerajaan Negeri semasa projek Sub-terranean Penang International Convention & Exhibition (SPICe) Centre dicadangkan pada 2011 sehingga ada soalan janggal dan jahil seperti, “Mengapa Pulau Pinang perlukan satu pusat pameran, exhibition hall atau convention centre?”

Kini keberanian dan ketegasan Pulau Pinang telah terbukti apabila SPICE berjaya menarik lebih ramai pelancong dan juga mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai pilihan utama apabila SEMICON ASIA iaitu pameran semiconductor yang paling besar di Asia Tenggara telah berhijrah daripada Singapura ke Pulau Pinang serta konvensyen mega antarabangsa telah berjaya menarik seramai 15,000 orang apabila ianya dianjurkan di sini. Kini tiada mana-mana pihak yang boleh mengkritik SPICE sebaliknya hanya dapat memujinya sebagai projek pemangkin ekonomi.

Tentunya mereka yang mengkritik Kerajaan Negeri pada masa itu termasuk menyaman Ketua Menteri dan ahli EXCO khususnya parti pembangkang dan NGO tidak mahu mengakui kesilapan mereka sekarang. Itu tidak menjadi masalah tetapi janganlah menggadaikan masa depan anak-anak kita semata-mata kerana mahu melepaskan geram terhadap Kerajaan Negeri dengan menentang suatu projek yang baik secara hentam keromo. Saya tidak faham dimanakah konsistensi dan logiknya apabila parti pembangkang menggunakan maklumat dan data kajian Halcrow iaitu sebuah perunding antarabangsa bagi pengangkutan awam untuk mengkritik Kerajaan Negeri tetapi selepas itu mempersoalkan kesahihan data dan maklumat kajian Halcrow tersebut?

Perlu dinyatakan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) adalah sangat penting kepada Pulau Pinang dalam tempoh 50 tahun yang akan datang. Sekiranya SPICE adalah salah satu “gamechanger” bagi sektor pelancongan untuk mempromosikan sektor MICE, PIP adalah “lifechanger” yang boleh mengubah hidup dan nasib rakyat Pulau Pinang bukan sahaja sekarang tetapi juga untuk generasi akan datang (Gen Z). PIP tidak akan merompak masa depan anak kita sebaliknya menjaminkan masa depan mereka agar hidup lebih baik dan selesa daripada ibu bapa mereka.

Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang-CMI, Think City dan Aga Khan Cultural Services telah menubuhkan “Special Purpose Vehicle (SPV)’’ yang dikenali sebagai George Town Conservation & Development Corporation (GTCDC) bagi memantau dan melaksanakan Pelan Induk Strategik bagi Pembangunan Bandaraya George Town ‘George Town Strategic Management Plan’ (GTSMP). GTCDC juga akan bekerjasama erat dengan MBPP and GTWHI bagi memastikan pembangunan yang seimbang dan memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk libat sama di dalam pembangunan yang akan dilaksanakan di dalam kawasan Bandaraya George Town, yang diiktiraf sebagai Kawasan Warisan Dunia UNESCO.

Kerajaan Negeri telah menandatangani Perjanjian Kerjasama melalui Perjanjian Kolaborasi antara Think City Sdn Bhd dan Aga Khan Cultural Services pada 16 Oktober 2015. Beberapa program dan projek telah dirancang untuk menghidupkan semula Bandar Georgetown melalui usahasama ini iaitu projek dan aktiviti yang telah digariskan dalam GTSMP merangkumi 5 zon di mana Zon A (North Sea Front) seluas 50.53ekar , Zon B (East Sea Front) seluas 59.99ekar, Zon C (Clan Jetties) seluas 38.62 ekar, Zon D(Lebuh Acheh dan Lebuh Armenian) seluas 34.22ekar dan Zone E – The Street of Harmony dengan keluasan 18.13ekar.

Saya ingin meminta YB Ketua Pembangkang menarik balik ucapan beliau dalam Dewan yang mulia ini kerana tidak mahu tokong kecil Taoisma di taman kecil Lebuh Armenian yang baru dinaiktaraf diletakkan di sana. Kini pihak konservasi setempat pun menerimanya tak kira penduduk Islam atau bukan Islam, sebagai kedudukan status quo kerana ia telah berada di situ hampir 70 tahun. Kegagalan beliau berbuat demikian hanya menggambarkan pendirian BN sebagai sebuah parti yang sempit dan mainkan sentimen ekstremis untuk kepentingan diri sendiri.

CAT – CEKAP, AKAUNTABILITI, TELUS

Pada setiap tahun Laporan Ketua Audit Negara terhadap jabatan-jabatan negeri telah memberi pandangan yang positif terhadap pencapaian yang diperolehi. Audit Akauntabiliti Indeks telah pada tahun 2015 melibatkan 10 jabatan iaitu 7 Jabatan Negeri dan 3 Agensi Negeri. 8 jabatan/agensi telah mendapat 5 bintang dan 2 Jabatan memuaskan.

Selain itu, pengamalan 6 langkah integriti dalam memerangi rasuah, iaitu pengisytiharan harta secara terbuka, pelaksanaan tender terbuka, melarang ahli-ahli keluarga daripada berurus niaga dengan kerajaan, melindungi wistle blower, menggugurkan pemimpin-pemimpin yang hidup mewah dan bersikap telus dalam sumbangan politik yang telah mendapat pengiktirafan dan pujian dari Transparency International.

Lebihan Belanjawan Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM 507 juta daripada tahun 2008 sehingga 2014 berbandingan dengan lebihan Belanjawan untuk 50 tahun sebelum ini daripada 1957 sehingga 2007 sebanyak RM373 juta. Rizab Kerajaan Negeri telahpun naik daripada RM800 juta pada 2008 kepada RM1.5 Bilion pada 2014. Hutang Kerajaan Negeri telah pun berkurang sebanyak 90% kepada hanya RM69 juta pada tahun 2015. Ini adalah jumlah hutang yang terendah di seluruh Malaysia.

Dakwaan bahawa pengurangan hutang disebabkan oleh Kerajaan Persekutuan adalah tidak benar sama sekali kerana Kerajaan Persekutuan telah untung dengan mengambil alih aset-aset yang kini telah pun naik harga nilainya. Sungguhpun begitu, Kerajaan Negeri bersedia menyerahkan aset asalkan projek pembesaran Empangan Air Mengkuang yang dijanjikan sebelum ini boleh dijalankan supaya penampungan air boleh dibesarkan sebanyak 3 kali ganda.

Pada 2008, Pulau Pinang bukanlah negeri yang hutang paling kurang di Malaysia tetapi atas urustadbir CAT dan penyerahan aset kepada Kerajaan Persekutuan, Pulau Pinang berjaya menjadi si penghutang yang paling rendah di Malaysia. Ini menunjukkan bahawa pentadbiran CAT membolehkan tahap hutang terkawal bukan macam negeri-negeri lain yang mendapat layanan yang sama seperti Pulau Pinang tetapi hutang mereka telah bertambah jauh lebih banyak daripada Pulau Pinang selepasnya. Kejayaan pengurusan CAT memperlihatkan pembangunan pesat di Pulau Pinang sehingga dianggap negeri yang paling baik dihuni di Malaysia serta paling baik untuk pelaburan di Malaysia oleh Juru Perunding hartanah global Knight Frank.

ISU BANGUNAN DUN YANG BARU

Untuk makluman Ahli-ahli yang Berhormat yang begitu prihatin dengan bangunan DUN yang baru, pembinaan Dewan Undangan Negeri baru masih di peringkat kajian bagi mengenal pasti lokasi yang strategik dan sesuai serta kemudahan yang diperlukan pada masa kini dan masa hadapan. Keperluan-keperluan ini sedang diteliti bagi memastikan Dewan Undangan Negeri yang baru kelak lengkap dan dapat memenuhi keperluan semua pihak.

Dalam usaha mengenali tapak lokasi bagi pembinaan Dewan Undangan Negeri yang baru, Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan tapak yang paling sesuai samada di Pulau atau di Seberang Perai dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti keselesaan perjalanan dan sebagainya.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

TANAH YANG DIPERUNTUKKAN UNTUK SEKOLAH KHAS

Untuk makluman Ahli-ahli yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah meluluskan permohonan Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Terencat Akal Pulau Pinang untuk sebidang tanah seluas 1.373 ekar. Permohonan ini adalah disebabkan sekolah khas di Dato Keramat yang seluas 20,000 kaki persegi kini mempunyai seramai 60 pelajar. Walau bagaimanapun, sekolah ini telah tidak mampu memberikan keselesaan kepada pelajar memandangkan sekolah ini telah uzur dan juga tidak memiliki kemudahan yang diperlukan.

Memandangkan terdapat sebidang tanah yang telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk tujuan sekolah oleh pemaju di Relau, maka Kerajaan Negeri bersetuju untuk meluluskan permohonan persatuan tersebut. Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Tanah Kepada Sekolah tersebut telah diadakan baru-baru ini pada 16 Mei 2016 bertempat di Bilik Mesyuarat DUN. Nilai tanah yang diberimilik ini adalah dianggarkan sebanyak RM15juta. Bangunan 2 tingkat dengan keluasan 50,000kaki persegi ini akan dibina oleh pemaju Ideal Properties sebagai projek CSR dianggarkan makan perbelanjaan RM7 juta lagi. Bangunan ini dijangka akan siap dalam masa 18 bulan selepas Pelan Bangunan diluluskan oleh MBPP. Ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri amat prihatin dalam menjaga kebajikan semua lapisan masyarakat termasuk golongan yang kurang bernasib baik. Ini adalah sumbangan daripada Kerajaan Negeri untuk golongan OKU.

PROJEK IBU PEJABAT MAHKAMAH TINGGI SYARIAH NEGERI PULAU PINANG

Projek ini terletak di atas tanah Kerajaan Negeri seluas 3.9 ekar di kawasan Batu Gantung. Bagi cadangan pembinaan Projek Ibu Pejabat Kompleks Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Pulau Pinang ini Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM27.36 juta. Kerajaan Negeri telah mendermakan tanah tersebut yang mempunyai nilai pasaran hampir RM80 juta. Memang sumbangan RM80 juta pihak Kerajaan Negeri lebih besar daripada Kerajaan Persekutuan. Tawaran pembinaan telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada IHS Construction Sdn Bhd dan pemilikan tapak telah diserahkan pada 5 Januari 2012 serta dijangka siap pada 1 Oktober 2014.

Namun begitu pelaksanaan kerja-kerja ini menghadapi masalah dan telah berlaku kelewatan penyiapannya di mana jadual terkini projek ini dijangka dapat disiapkan adalah pada 30 April 2014 dengan baki kerja yang terlibat sebanyak 2% sahaja dengan nilai RM3.8 juta. Di antara punca kelewatan projek ini adalah masalah kontraktor utama yang ditawarkan kontrak ini di mana ia telah gagal melakukan pembayaran kepada sub kontraktor berkenaan. Pihak JKR telah berjaya mendapatkan kebenaran kontraktor utama iaitu IHS Sdn Bhd untuk membayar terus kepada sub kontraktor terlibat dalam projek ini. Sehubungan dengan tindakan tersebut pihak JKR berkeyakinan tinggi bahawa projek ini dapat disiapkan dengan sempurna pada 30 Jun 2016.

Dengan adanya projek-projek sebegini, dakwaaan bahawa projek-projek mega yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri hanya berunsurkan keuntungan adalah tidak benar sama sekali. Kerajaan Negeri memang melaksanakan projek-projek mega tetapi pulangan yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri adalah untuk dinikmati oleh rakyat Pulau Pinang.

NASIB 26 BUAH KELUARGA DI KAMPUNG PERMATANG TOK SUBOH YANG MENGHADAPI PENGUSIRAN SECARA PAKSA

Untuk makluman YB Machang Bubok, Status permohonan TOL oleh penduduk Kg. Tok Subuh di Sungai Lembu telah dibentangkan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan PBN di mesyuaratnya pada 7 Disember 2014 dan disahkan pada 12 Februari 2015 telah menolak permohonan ini kerana ia tidak disokong oleh YB Adun Penanti dan JKKK Sg. Lembu, sungguh pun rayuan dibuat sendiri oleh YB Machang Bubuk. Permohonan tanah untuk kawasan lain sedang dikaji.

Berhubung isu penduduk Kampung Tok Subuh, Seberang Perai Tengah yang diusir keluar oleh pemilik tanah, adalah dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri tidak mempunyai dasar khusus untuk menyediakan tapak ganti kepada setinggan yang diusir oleh mana-mana tuan tanah persendirian.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri sedang menimbangkan permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) di atas Tanah Kerajaan Negeri berhampiran yang dikenal pasti sendiri oleh pemohon. Selain itu, penduduk yang diusir oleh mana-mana tuan tanah di Seberang Perai Tengah boleh juga mengemukakan permohonan kepada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menduduki rumah yang disediakan di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Wawasan Bukit Mertajam.

SEKOLAH AGAMA RAKYAT

Adalah tidak benar sama sekali dakwaan bahawa peruntukan Kerajaan Negeri kepada sekolah berteraskan agama Islam adalah tidak seimbang.
Sebenarnya jumlah yang diberikan sejak 2008 untuk semua sekolah dan pendidikan agama Islam adalah sebanyak RM41.6 juta dan bukanlah RM1.75 juta setahun seperti yang didakwa. Lagipun tanah berjuta-juta ringgit telah pun diberikan kepada sekolah tersebut (lihat Lampiran 1).

Sekiranya peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi pembiayaan program keagamaan Islam Negeri Pulau Pinang dari tahun 2008 sehingga April 2016 merangkumi pengambilan tanah maka peruntukan yang telah disediakan dalam tiga (3) tahun kebelakangan ini adalah melebihi RM50 juta setahun.

Kerajaan Negeri bermula pada tahun 2008 lagi telah memberikan sumbangan tambahan ex-gratia sebanyak RM50.00 sebulan kepada guru-guru KAFA, di mana pada tahun semasa 2016 sebanyak RM930,000.00 telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang untuk pembayaran pemberian ex-gratia kepada seramai 1,550 orang guru KAFA.

Kerajaan Negeri juga bermula pada tahun 2010 telah memperuntukkan dalam bajet tahunan pemberian bantuan khas kewangan/bonus kepada guru-guru KAFA dan mulai tahun 2012 telah menyediakan bajet untuk tujuan pemberian sagu hati Hari Raya Aidilfitri kepada guru-guru agama, tahfiz, pondok dan TADIS.

Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan Pembangunan di bawah Maksud Pembangunan P13 Butiran 04 Sekolah Agama Rakyat untuk tujuan membiayai kos membaiki, menaik taraf dan membina sekolah-sekolah agama di Pulau Pinang. Peruntukan Pembangunan yang telah disediakan mengikut tahun untuk Maksud Pembangunan P13 Butiran 04 Sekolah Agama Rakyat ialah seperti berikut:

Tahun Peruntukan P13 Butiran 04 (RM)
2008 2,500,030.00
2009 3,668,800.00
2010 2,560,000.00
2011 1,700,000.00
2012 1,100,020.00
2013 1,850,000.00
2014 2,850,000.00
2015 1,600,010.00
2016 2,030,000.00

Keseluruhannya, peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri untuk pembiayaan sekolah-sekolah agama di Negeri Pulau Pinang mengikut tahun ialah seperti berikut:

Tahun Program Bantuan Pendidikan (RM) Sumbangan ex gratia guru-guru KAFA (RM) Pembangunan P13 (04)(RM) Jumlah (RM)
2008 88,250.00 659,250.00 2,500,030.00 3,247,530.00
2009 1,500,000.00 879,000.00 3,668,800.00 6,047,800.00
2010 1,750,000.00 913,200.00 2,560,000.00 5,223,200.00
2011 1,750,000.00 900,000.00 1,700,000.00 4,350,000.00
2012 1,750,000.00 912,000.00 1,100,020.00 3,762,020.00
2013 1,750,000.00 886,800.00 1,850,000.00 4486800
2014 1,750,000.00 885,600.00 2,850,000.00 5,485,600.00
2015 1,750,000.00 895,800.00 1,600,010.00 4,245,810.00
2016 1,750,000.00 930,000.00 2,030,000.00 4,710,000.00
Jumlah 13,838,250.00 7,861,650.00 19,858,860.00 41,558,760.00

ISU PEMBALAKAN DI ULU MUDA MENGANCAM BEKALAN AIR DUA JUTA PENDUDUK DAN BERIBU-RIBU PERNIAGAAN, SERTA KEPERLUAN PENGAIRAN DI PULAU PINANG DAN SELATAN KEDAH

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meminta Kerajaan Pusat untuk menghentikan semua aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda, seperti yang dilaporkan di muka hadapan The Star (16/5/2016). Hutan Simpan Ulu Muda menjadi kawasan tadahan air untuk Sungai Muda, sumber air mentah utama bagi Pulau Pinang dan Selatan Kedah.

Atas pentadbiran CAT, kerajaan negeri dan PBAPP dapat mengekalkan dasar “Tak Nak Catuan Air”, satu-satu negeri di Malaysia yang tidak pernah jalankan catuan air dengan pengurusan perbekalan dan permintaan penggunaan air. Akan tetapi kesemua usaha tak nak catuan air akan gagal sekiranya hutan simpan itu dirosakkan atau dimusnahkan lagi, kesannya adalah kekurangan air mentah dari sungai berkenaan. Jika kualiti air mentah dari Sungai Muda terjejas, ia juga akan mengancam kualiti air terawat yang dibekalkan di Pulau Pinang dan Selatan Kedah.

Dalam konteks ini, pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda akan mengancam:

1) Bekalan air untuk lebih 2 juta penduduk di Selatan Kedah dan Pulau Pinang.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) mengabstrak 80% daripada air mentah Pulau Pinang, iaitu melebihi 1 bilion liter, dari Sungai Muda setiap hari. 14 loji rawatan air Kedah turut mengabstrak air dari Sungai Muda.

Keseluruhannya, Pulau Pinang dan Kedah mengabstrak lebih kurang 1.56 bilion liter dari Sungai Muda setiap hari. Tanpa air mentah ini, akan berlaku krisis bekalan air yang besar di Pulau Pinang dan Kedah Selatan.

2) Bekalan air untuk beribu-ribu perniagaan, termasuk syarikat-syarika pembuatan berteknologi tinggi yang beroperasi di Kulim High Tech-Park dan taman-taman perindustrian di Pulau Pinang.

Pada tahun 2014, Pulau Pinang menyumbang 6.5% (RM88 bilion) manakala Kedah menyumbang 3.4% (RM47 bilion) kepada KDNK Malaysia yang berjumlah USD$338 bilion (RM1365.4 bilion). *Ini bermakna, sumbangan kedua-dua negeri ini, jika digabungkan, adalah 9.9% atau lebih kurang USD$33.5 bilion (RM135.3 bilion) pada tahun 2014.

Kesemua perniagaan yang beroperasi di Pulau Pinang dan Selatan Kedah bergantung kepada bekalan air yang baik dan berterusan, 24 jam sehari.

Jika berlaku krisis bekalan air, kerugian yang dicatatkan mencecah berbilion-bilion ringgit. Selain itu, reputasi Pulau Pinang, Kedah dan Malaysia sebagai hab antarabangsa bagi sektor pembuatan (khususnya elektronik dan elektrikal), perkhidmatan, pelancongan dan pembangunan harta akan teruk terjejas untuk tahun-tahun akan datang.

Sektor E&E yang merupakan sektor yang paling menarik, telah menyumbang 24.5% atau RM229.37 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2012. Ia menyumbang 32.9% atau RM231.03 bilion kepada keseluruhan eksport pembuatan. Pada tahun 2015, eksport barangan E&E berjumlah RM277.9 bilion dan menyumbang kepada 44.4% jumlah keseluruhan barangan perkilangan. Sebahagian besar nilai tersebut datangnya daripada Pulau Pinang dan Kedah.

3) Pengairan untuk pesawah di Kedah Selatan Dan Pulau Pinang

Semua pesawah di Selatan Kedah dan Pulau Pinang bergantung kepada air mentah yang diambil oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dari Sungai Muda untuk pengairan.

Terdapat enam muka sauk pengairan di Kedah dan dua muka sauk pengairan di Pulau Pinang dalam sistem Sungai Muda. Purata abstraksi harian air dari sungai ketika musim penanaman padi biasa berjumlah kira-kira 2.59 bilion liter, iaitu 1.5 kali lebih daripada abstraksi bekalan air.

Jika tiada air yang mencukupi untuk diabstrak dari Sungai Muda pada masa hadapan, punca pendapatan beribu-ribu petani padi akan terjejas. Oleh itu adalah perlu JPS dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) diarahkan untuk menurunkan pam di muka sauk loji-loji rawatan air sepanjang Sungai Muda di Kedah Selatan agar dapat mengambil air sungguhpun tahap air cetek dan untuk mengelak pembaziran pelepasan air mentah ke dalam Sistem Sungai Muda pada masa-masa akan datang.

ULU MUDA PERLU DILINDUNGI OLEH UNDANG-UNDANG

Pulau Pinang berharap Kerajaan Persekutuan akan bertindak untuk melindungi dan memelihara Hutan Simpan Ulu Muda serta-merta.

Oleh kerana “nilai yang begitu berharga” sebagai tadahan air, kawasan warisan semulajadi dan potensi destinasi pelancongan pengembaraan di Wilayah Utara Malaysia, Hutan Simpan Ulu Muda mesti dilindungi oleh undang-undang.

Dalam Rancangan Malaysia ke-10 (2011 – 2015), Kerajaan Persekutuan telah menyatakan bahawa ia akan “mengambil inisiatif untuk menggalakkan negeri-negeri mewartakan hutan terutamanya kawasan tadahan air sebagai kawasan yang dilindungi.”

Oleh itu, Kerajaan Persekutuan perlu mewartakan Hutan Simpan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air dan kawasan yang dilindungi sepenuhnya. Justeru, tindakan Kerajaan Pusat adalah perlu untuk :

  1. Hentikan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda sekarang ;
  2. Haramkan pembalakan di hutan simpan ini pada masa akan datang ; dan
  3. Memudah cara perlindungan undang-undang bagi Hutan Simpan Ulu Muda yang berfungsi sebagai kawasan tadahan air untuk Sungai Muda, sumber utama air mentah bagi Pulau Pinang dan Selatan Kedah.

Perlu diingatkan bahawa risiko krisis air di Pulau Pinang dan Kedah Selatan boleh berulang lagi jika berlaku satu lagi musim kemarau yang berpanjangan seperti musim kemarau lima bulan yang disebabkan oleh Super El Niño tahun ini sehingga penurunan hujan untuk dua bulan kebelakangan ini hanya 30% daripada purata bulanan.

PENUTUP

Yang Berhormat Datuk Speaker,

Kerajaan Negeri mendapati bahawa perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang kini telah jauh mengorak langkah transformasi dengan melakukan beberapa penambahbaikan serta pembaharuan dalam pelaksanaan dan penyampaian perkhidmatannya dalam urusan harian Kerajaan.

Justeru sebagai menghargai sumbangan dan tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada Perkhidmatan Awam Negeri serta mengambil kira kos inflasi dan peningkatan kos hidup yang begitu ketara kerana GST, Kerajaan Negeri bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan atau Bonus Raya sebanyak tiga per empat (3/4) bulan gaji atau minimum RM700.00 kepada seramai 4,178 Anggota Perkhidmatan Awam Negeri.

Bantuan Khas Kewangan ini juga turut dipanjangkan kepada seramai 1,486 Penyelia dan Guru KAFA, 192 Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, 166 Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta 522 Guru dan Staf Sekolah Persendirian Cina sebanyak RM300.00 seorang dan RM200.00 seorang kepada seramai 215 Guru Tahfiz, Guru Pondok dan Guru Tadika Islam (TADIS) Negeri Pulau Pinang.

Bayaran bonus khas dan istimewa ini akan dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri akan datang. Keseluruhan perbelanjaan untuk pemberian terlibat adalah dianggarkan berjumlah RM7.95 juta. (Perincian seperti di Lampiran)

Pemberian Bantuan Khas Kewangan ini juga turut dipanjangkan kepada kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan-badan Berkanun Kerajaan Negeri.

Pada tahun 2015 lalu, Bantuan Khas Kewangan yang telah diberi oleh Kerajaan Negeri ialah sebanyak separuh (1/2) bulan gaji atau minimum RM600.00 kepada semua Anggota Perkhidmatan Awam dan quantum yang sama (RM300.00 dan RM200.00) kepada penerima-penerima selainnya. Pemberian Bantuan Khas Kewangan pada pertengahan tahun lalu telah melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM5.22 juta.

Marilah kita bersama-sama berusaha gigih menjalankan transformasi ke atas Pulau Pinang yang bertaraf antarabangsa dan pintar dalam sebuah bandaraya berdaya huni yang bersih, hijau, sihat dan selamat.

Dengan ini YB Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.