PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah dua PRK yang penting selaku referendum rakyat terhadap isu 1MDB dan “tajaan politik” sebanyak RM4.2billion yang sekarang melanda negara kita.
Kedua-dua PRK ini juga merupakan pilihanraya pertama yang akan dipertandingi oleh Pakatan Harapan di Semenanjung Malaysia selepas penubuhannya. Pakatan Harapan perlu memaparkan satu barisan pembangkang yang bersepakat, bersepadu dan dapat memberikan keyakinan kepada pengundi-pengundi menjelang PRU-14.
Memandangkan PAS telah menolak segala kemungkinan untuk mengelakkan pertaruhan 3 penjuru antara BN, PAS dan PH, dan lebih cenderung untuk memenangkan UMNO, maka Pakatan Harapan perlulah meletakkan calon yang terbaik di kedua-dua PRK Kuala Kangsar & Sungai Besar untuk menewaskan calon BN.
Amanah merupakan rakan baru dalam Pakatan Harapan yang baru berusia 8 bulan. Walau bagaimanapun Amanah telah membuktikan dengan semangat dan prestasinya dalam memperjuangkan isu Rakyat demi menyelamatkan Malaysia dari ambang kebankrapan. Selaku rakan sepejuangan dalam Pakatan Harapan, adalah penting untuk kami memastikan Amanah berkembang, dan seterusnya menjadi satu parti yang mampu untuk melontarkan cabaran terhadap UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU-14.
Untuk PRK Kuala Kangsar khasnya, adalah diingatkan bahawa calon PAS untuk kerusi Kuala Kangsar pada tahun 1999 adalah Tn Hj Asmuni Awi, 2004 adalah Mohd Nizar bin Jamaluddin dan 2008 adalah Dr Khairuddin Datuk Abdul Malim, dan kesemuanya mereka pada hari ini telah meninggalkan PAS dan bersama-sama dengan Amanah dan Pakatan Harapan.
Kami juga percaya bahawa anak muda yang mahukan perubahan turut mahu nampak Amanah mampu untuk menggantikan lacuna pembangkang yang ditinggalkan oleh PAS selepas era Pakatan Rakyat. Adalah juga tanggungjawab kami untuk memaparkan bahawa Pakatan Harapan adalah berupaya, sebagai satu forminable opposition front, untuk menggantikan Barisan Nasional dalam PRU-14.
DAPSY dengan ini menyokong calon Amanah mewakili Pakatan Harapan dalam kedua-dua PRK yang akan berlangsung pada 18.06.2016.
Untuk memenangkan calon Pakatan Harapan, DAPSY juga akan bekerjasama erat dengan Pemuda Amanah dan Angkatan Muka Keadilan dalam kedua-dua PRK ini. DAPSY akan mengerahkan keseluruhan jentera DAPSY dari seluruh negara untuk memenangkan calon Pakatan Harapan yang mana jentera DAPSY dari Penang, Kedah, Perak, Pahang, Sabah akan membantu kempen PRK di Kuala Kangsar manakala jentera DAPSY dari Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak akan berkempen di Sg Besar.