Skip to content

Menyeru Kerajaan Persekutuan menyatakan sebab-sebab kenapa sehingga kini kerajaan masih tidak mengumumkan dividen Tahun 2015 kepada pendeposit akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional

Saya menyeru Kerajaan Persekutuan menyatakan sebab-sebab kenapa sehingga kini kerajaan masih tidak mengumumkan dividen Tahun 2015 kepada pendeposit akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Saya menerima maklum balas daripada pendeposit-pendeposit tersebut mengenai perkara ini dan meminta kerajaan menerangkan isu ini.

Menurut pendeposit, kerajaan akan mengumumkan bayaran dividen dan dividen itu akan dimasukkan ke dalam akaun mereka pada awal bulan Januari setiap tahun bagi bayaran dividen tahun yang lepas. Tetapi anehnya, dividen tahunan 2015 belum diumumkan sehingga kini.

Dalam sidang Dewan Negeri Johor yang diadakan pada bulan April 2016, saya telah mengemukakan soalan ini kepada YB Exco Pendidikan tetapi tidak dijawab oleh Exco yang berkenaan.

Pada sidang Dewan Parlimen bulan Mei 2016, saya sekali lagi menerusi Ahli Parlimen Ipoh Timur YB Thomas Su mengemukakan soalan bertulis kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) , tetapi adalah amat dikesali, KPT juga tidak terus terang menjawab soalan itu dengan sebab-sebabnya.

Oleh sebab itu, apakah sebenarnya yang berlaku ke atas SSPN ini yang mengakibatkan kerajaan sehingga kini tidak dapat mengumumkan dividen tahunan 2015 yang berkenaan? Pendeposit-pendeposit mempunyai hak untuk mengetahui apakah sebab-sebannya dan kerajaan seharusnya terus terang kepada mereka.

SSPN adalah satu skim simpanan yang membolehkan ibu bapa menyimpan sebahagian pendapatan mereka bagi membuat persediaan kewangan untuk anak-anak yang ingin melanjutkan pendidikan tinggi kemudian hari.

Setakat bulan Mar 2016, SSPN mempunyai sebanyak 2,516,050 pendeposit yang melibatkan simpanannya sebanyak RM2,130 juta ringgit. Pada tahun-tahun yang lepas, kerajaan telah mengumumkan bayaran dividen dalam lingkungan sebanyak 2.5% sehingga 4.25%. Daripada tahun 2004 hingga 2014, sebanyak RM151 juta telah diberikan pendeposit-pendeposit akaun tersebut.