Skip to content

Menyeru kepada Kerajaan Negeri Johor dan juga Kerajaan Persekutuan supaya jangan mengambil jalan pintas dalam hal ehwal pengurusan sumber air dan pembekalan air terawat

Sekali lagi saya ingin menyeru kepada Kerajaan Negeri Johor dan juga Kerajaan Persekutuan supaya jangan mengambil jalan pintas dalam hal ehwal pengurusan sumber air dan pembekalan air terawat.

Tiga hari yang lepas media negara Singapura Channel NewsAsia [1] melaporkan bahawa negara tersebut akan membekalkan tambahan 6 juta gallon air terawat setiap hari kepada negeri Johor bermula 4 Jun yang lalu. Pihak Singapura berbuat sedemikian atas permintaan daripada Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) untuk menghadapi krisis air yang kita hadapi baru-baru ini ekoran kemerosotan paras air yang kritikal di Empangan Sungai Layang.

Langkah ini mungkin dapat membantu kita dalam menghadapi krisis air yang kita hadapi sekarang buat jangka pendek namun ia tidak dapat menyelesaikan masalah ini dan krisis yang sama mungkin berulang pada masa akan datang sekiranya langkah jangka panjang tidak dirancang dan dilaksanakan secara bersungguh-sungguh.

Oleh yang demikian saya ingin menggariskan beberapa perkara yang wajib dipandang serius oleh pihak kerajaan dan harus dilaksanakan dengan seberapa segera yang mungkin untuk memastikan kemapanan sumber air di Johor dan kita tidak lagi perlu bergantung kepada mana-mana pihak luar dalam menangani isu pembekalan air di negeri Johor.

Pertama, kerajaan harus mengambil langkah-langkah berkesan yang proaktif dalam mempertingkatkan usaha memulihara dan memelihara kawasan tadahan air. Walaupun isu ini sering saya timbulkan baik di dalam atau di luar Dewan Negeri sejak saya dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri Johor, namun kerajaan masih belum memberikan perhatian yang sewajar dalam perkara ini. Aktiviti di kawasan tadahan air wajib dikawal ketat dan segala aktiviti yang memberikan ancaman kepada kualiti air dan fungsi tadahan air tersebut wajib diharamkan. Bagaimana pun, aktiviti pertanian yang mencemarkan sumber air masih dijalankan di sekitar Empangan Macap dan Empangan Sembrong baik secara haram atau halal. Pada masa yang sama, aktiviti pembalakan yang menyebabkan penyusutan keluasan kawasan tadahan masih dijalankan dan aktiviti perlombongan pasir juga dilaporkan berlangsung di lokasi yang begitu dekat tempat pengambilan air.

Kedua, penguatkuasaan undang-undang sedia ada perlu dipertingkatkan. Walaupun Enakmen Air 1921 telah dipinda pada tahun 2014 sebagai suatu usaha dalam menambahbaik pengurusan sumber air di negeri Johor. Namun begitu, dua tahun telah berlalu dan penguatkuasaan Enakmen ini masih lemah dan pencerobohan kawasan tadahan semakin berleluasa.

Ketiga, kerajaan harus mengambil langkah-langkah berkesan untuk melaksanakan pengurusan permintaan (demand management) dan mengurangkan penggunaan air per kapita yang tinggi di negeri Johor. Penggunaan air per kapita di Johor sekarang adalah tinggi iaitu 220 liter per kapita sehari. Kita haruslah mensasarkan 150 liter seorang setiap hari sebagai penggunaan air per kapita yang baru di negeri Johor dan mencapai sasaran ini secepat yang mungkin, dalam masa lima tahun jika boleh. Penggunaan air per kapita yang rendah bukan sahaja dapat mengurangkan permintaan terhadap air terawat dan mengurangkan tekanan pihak syarikat air dalam menghasilkan air yang secukupnya malah juga dapat memupuk sikap penggunaan air yang berhemah di kalangan pengguna sekaligus memastikan kemapanan sumber air di negeri Johor.

Akhirnya, kerajaan harus merangka strategi menyeluruh dan berkesan dalam mengurus sumber air di negeri Johor. Kita haruslah sediakan payung sebelum hujan dan mengambil pelbagai langkah berkesan dalam memelihara sumber sedia ada dengan seberapa baik yang mampu dan mengurangkan permintaan bagi memastikan kita sentiasa bebas daripada ancaman krisis kekurangan air.