Skip to content

Menyeru kerajaan supaya meningkatkan lagi jaringan kebajikan sosial bagi memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan agar mereka tidak tercicir dari arus pembangunan perdana

Saya menyeru kerajaan supaya meningkatkan lagi jaringan kebajikan sosial bagi memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan agar mereka tidak tercicir dari arus pembangunan perdana.

Saya telah melawat keluarga-keluarga fakir miskin sempena program Bank Makanan yang telah dilancarkan. Turut bersama dalam lawatan ini termasuklah Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali, Ketua DAPSY Kluang Pua Meng Jiann dan sukarelawan program Bank Makanan Keristhina dan Azib.

Pelaksanaan program Bank Makanan ini bertujuan memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan untuk membantu golongan yang terabai dari arus pembangunan negara. Pada masa sama, saya berharap program ini dapat menjadi salah satu medium bagi mereka yang berminat dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan amal untuk membantu golongan sasaran.

Sepanjang bulan Mei yang lalu, Bank Makanan telah mendapat sumbangan sebanyak 28 set bahan makanan. Para sukarelawan telah bermesyuarat untuk membuat penilaian dan penapisan dari keseluruhan 80 kes/aduan rakyat yang kami terima.

Setelah kesemuanya diteliti, kami memulakan kerja-kerja penghantaran barangan. Golongan yang mendapat bantuan pada bulan Mei ini termasuklah keluarga berpendapatan rendah, keluarga ibu tunggal, keluarga OKU dan warga emas yang hidup sebatang kara.

Saya faham bahawa barangan yang disumbangkan oleh Bank Makanan sebenarnya tidaklah besar, mungkin hanya cukup untuk penggunaan satu minggu sahaja untuk sesebuah keluarga. Namun kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu dengan harapan apa yang kami lakukan itu dapat mengurangkan beban mereka.

Ramai orang persendirian dan juga pertubuhan termasuklah parti-parti politik akan menjalankan program seumpama ini khususnya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Ia merupakan satu usaha yang mesti dipuji. Saya berharap agar kerja-kerja amal ini dapat dijalankan secara berterusan supaya golongan sasaran mendapat perhatian yang secukupnya.

Bank Makanan yang telah saya mulakan ini merupakan suatu program yang berterusan dan saya berharap para dermawan dan anggota masyarakat yang pemurah dapat bersama-sama menjayakan program ini dengan menderma barang makanan menerusi pejabat saya untuk diagihkan kepada golongan memerlukan. Sukarelawan kami akan menentukan senarai keluarga penerima setiap bulan mengikut bilangan barangan yang dikumpulkan.

Sesiapa yang ingin membuat sumbangan ke program Bank Makanan ini juga disyorkan agar menyumbang mengikut kadar seperti berikut bagi memudahkan urusan pengagihan; beras 5kg, minyak masak 2kg dan makanan dalam tin. Pada masa yang sama, orang awam juga dialu-alukan melibatkan diri sebagai sukarelawan Bank Makanan.

Sebarang pertanyaan bolehlah berhubung dengan pejabat ADUN Mengkibol di alamat 11A, Jalan Tong Teow Kee, Taman Lian Seng, 86000 Kluang atau melalui telefon 010-5171758 (Wira).