Skip to content

Kenyataan balas oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke atas siaran akhbar oleh Y.B. Datuk Abdul Rahman Dahlan

Sekali lagi, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan bertubi-tubi menyerang Kerajaan Negeri secara melulu dengan soalan-soalan yang sudah dijawab berkali-kali berkaitan projek kerajaan negeri yang dijalankan secara tender terbuka. Alangkah baiknya sekiranya beliau mengambil sikap sama ke atas projek kerajaan persekutuan BN yang tidak dijalankan secara tender terbuka seperti skandal ibupejabat FELCRA sebanyak RM687 juta.

Perlu dijelaskan kos keseluruhan tiga (3) Projek Jalan-jalan Utama dan sebatang Terowong Di Pulau Pinang adalah sebanyak RM6.341 bilion yang dibiayai melalui gantian tanah(land swap) dan pengenaan toll untuk terowong bawah dasar laut sahaja. Projek terowong bawah dasar laut adalah RM3.7 bilion dan bukan RM6.341 bilion seperti yang didakawa. Ia tidak akan bina sekarang tetapi siap menjelang 2027 bila trafik di Jambatan Pertama dan Kedua dijangka mulai sesak. Toll yang dikenakan untuk terowong tidak ada jaminan trafik(traffic volume guarantee), tidak seperti toll konsesi BN yang mewajibkan kerajaan persekutuan bayar pampasan sekiranya jumlah kereta yang bayar toll tidak mencukupi.

Kajian Kebolehlaksanaan untuk Projek Terowong Link Ketiga adalah RM20 juta dan bukan RM305 juta seperti yang didakwa dan belum ada lagi pembayaran dibuat samada dalam bentuk wang tunai ataupun serahan seinci persegi tanah. Kerajaan Negeri telah menjemput Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk melihat sendiri dokumen-dokumen yang berkaitan. Namun, beliau sendiri menolak jemputan Kerajaan Negeri tersebut. Mengapa Datuk Abdul Rahman Dahlan begitu takut untuk melihat dokumen dan mendengar penjelasan Kerajaan Negeri?

Nilaian pada tahun 2014 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan Malaysia untuk tanah gantian(land swap) adalah pada kadar RM475.00 sekaki persegi. Manakala, nilai yang termaktub dalam perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. (CZBUCG) adalah bernilai RM1,300.00 sekaki persegi. Datuk Abdul Rahman Dahlan perlu faham bahawa RM475.00 sekaki persegi oleh JPPH dijadikan asas oleh Kerajaan Negeri dalam penentuan nilai tanah pada masa hadapan.

Perlu diingatkan harga RM1,300.00 sekaki persegi adalah lebih tinggi daripada penilaian JPPH. Namun, Datuk Abdul Rahman Dahlan berulangkali mempertikaikan kuasa dan kredibiliti pihak JPPH yang merupakan jabatan kerajaan persekutuan. Beliau juga menyerang saya menyatakan transaksi komersial antara Ewein Berhad dengan CZBUCG, yang mana merupakan transaksi di antara dua pihak swasta adalah satu transaksi sulit. Saya tidak pernah menyatakan transaksi di antara dua pihak swasta adalah transaksi sulit. Ia adalah satu lagi fitnah jahat daripada Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa kontrak ini adalah diberikan secara tender terbuka dan CZBUCG dipilih kerana menawarkan harga yang paling rendah dan memenuhi keperluan spesifikasi teknikal. Mengapa tender terbuka kerajaan negeri Pakatan salah tetapi tender kroni tanpa terbuka oleh kerajaan BN pula tidak salah?

Datuk Abdul Rahman Dahlan pula menyatakan bahawa mengikut skala kadar Lembaga Jurutera Malaysia, fi perunding untuk civil & structural (C&S) tidak melebihi 2.54 peratus dari kos pembinaan projek. Datuk Abdul Rahman Dahlan mendakwa fi C&S projek kerajaan negeri ini adalah 11 peratus. Sebenarnya, beliau telah berbohong lagi kerana fi C&S yang dibayar kepada CZBUCG adalah hanya 2.5 peratus (iaitu kurang daripada 2.54 peratus skala kadar yang ditetapkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia). Itulah sebabnya saya berkali-kali menjemput Datuk Abdul Rahman Dahlan datang ke pejabat saya untuk meneliti sendiri dokumen berkaitan tetapi beliau enggan berbuat demikian mungkin kerana beliau takut berdepan dengan kebenaran. Saya akan pergi ke luar negara esok dan bersedia untuk berjumpa beliau di pejabat saya pada hari Khamis minggu depan.

Abdul Rahman membangkitkan isu sama seperti Datuk Huan Cheng Guan berkaitan peratusan pegangan saham China Railway Construction Corp. Ltd. (CRCC) dalam CZBUCG sudah menurun. Penjelasan mengenai isu pegangan saham dalam CZBUCG telahpun dibuat oleh YBhg. Dato’ Zarul Ahmad Bin Zulkifli, Pengerusi CZBUCG pada 8 Jun 2016, bahawa beliau telah difitnah dan akan memfailkan saman malu di mahkamah ke atas Datuk Huan Cheng Guan.

Bagi pihak kerajaan negeri, hak dan kepentingan kami tidak terjejas kerana CRCC dan Beijing Urban Construction Group (BUCG) telah menurunkan tandatangan secara berasingan sebagai syarikat individu sama seperti CZBUCG di dalam perjanjian awal dengan Kerajaan Negeri. Ini bermakna CRCC dan BUCG secara individu juga sama terikat dengan kerajaan negeri dalam pelaksanaan projek. Tambahan pula, ada satu perjanjian usahasama (joint venture) antara Zenith Construction Sdn. Bhd. dengan pihak CRCC untuk menbina dan melaksanakan projek ini.

Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa Projek Terowong Link Ketiga juga adalah tertakluk kepada kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar Terperinci (DEIA), dan perlu mendapatkan kelulusan Jabatan Alam Sekitar. Pada masa ini, Kajian Kebolehlaksanaan untuk Projek Terowong Link Ketiga baru mencapai kemajuan 83 peratus dan masih belum dapat dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan. Tidak ada satu sen pembayaran dibuat. Kajian ini juga boleh digunakan ke atas cadangan Projek Jambatan Ketiga kerana hanya melibatkan perbezaan struktur.

Datuk Huan Cheng Guan telahpun membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kerajaan Negeri bersedia memberikan kerjasama terhadap sebarang siasatan SPRM. Kami harap bahawa projek ini tidak dipolitikkan dan siasatan SPRM diperalatkan untuk mensabotaj dan menggagalkan projek yang berkepetingan awam ini.