Skip to content

Jawatankuasa Bajet Alternatif DAP Johor akan memulakan kajian untuk menghasilkan bajet alternatif mesra rakyat 2017

DAP Johor secara rasminya telah membentuk satu Jawatankuasa Bajet Alternatif pada 29 Mei lalu yang diketuai oleh Sdr. Chua Wee Beng, Ahli Dewan Undangan Negeri Bentayan dan Jawatankuasa ini termasuk Sdri Wong Shu Qi, Ahli Dewan Undangan Negeri Senai dan Mahdzir Ibrahim, Pengarah Pendidikan Politik DAP negeri Johor.

Selepas mesyuarat pertama, jawatankuasa ini telah memutuskan untuk menjalankan kaji selidik di seluruh negeri, bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai tentang bagaimana wang cukai rakyat perlu dibelanjakan untuk memperbaiki kehidupan rakyat Johor.

Isu-isu yang akan ditangani oleh jawatankuasa ini akan memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar, kualiti hidup dalam pembangunan yang pesat, mewujudkan peluang pekerjaan serta pengagihan kekayaan yang adil dan berkesan.

Adalah satu yang nyata bahawa kerajaan negeri mempunyai polisi ekonomi yang sangat terhad di peringkat makro. Namun demikian, jawatankuasa ini berpendapat bahawa kerajaan negeri mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan keupayaan untuk melaksanakan dasar-dasar tertentu yang dapat mengatasi beberapa masalah asas yang dihadapi oleh rakyat.

Sebagai contoh, kerajaan negeri Johor telah mengikuti langkah kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor dalam melaksanakan perkhidmatan bas percuma di negeri ini. Ia adalah satu langkah terpuji oleh kerajaan UMNO yang tidak takut untuk belajar daripada Pakatan Harapan.

Sebagai pembangkang yang bertanggungjawab di negeri ini, kami memainkan dua peranan iaitu yang menawarkan pilihan alternatif sebagai kerajaan menanti serta menyediakan kritikan membina untuk menambahbaik dalam persaingan idea.

Kami berharap, usaha ini adalah suatu permulaan politik yang sihat di Malaysia di mana kedua-dua parti, pemerintah dan pembangkang boleh menyumbang sesuatu kearah urustadbir yang lebih baik.