Skip to content

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menambah lagi peruntukan untuk lima (5) buah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berimpak tinggi yang dipohon oleh Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menambah lagi peruntukan untuk lima (5) buah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berimpak tinggi yang dipohon oleh Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan.

Lima (5) buah RTB berimpak tinggi yang dimaksudkan keseluruhannya bernilai RM997 juta (lihat butiran terperinci di lampiran), namun hanya RM150 juta diluluskan untuk RTB Sungai Pinang, walhal projek tersebut sebenarnya bernilai RM350 juta. Ini bermakna hanya RM150 juta diluluskan, yakni 15% daripada segala permohonan Kerajaan Negeri melalui permohonan yang dibuat bagi Bajet 2017.

Adalah diharapkan Kerajaan Persekutuan boleh menimbang sumbangan tahunan oleh Pulau Pinang kira-kira sebanyak RM6.5 bilion hingga RM7 bilion dalam bentuk cukai dan duti eksais kepada Kerajaan Persekutuan.

Hujan yang turun sebanyak 60mm sehari sudahpun dianggap sangat lebat. Bayangkan Pulau Pinang dalam masa tiga (3) hari yang lepas merekodkan hujan lebat luar biasa iaitu sebanyak 300mm, sekaligus menyebabkan banjir buruk berlaku di negeri ini. Malah, ada beberapa kawasan yang tidak pernah mengalami banjir, telahpun banjir berikutan hujan lebat luar biasa ini.

Mengikut jawapan bertulis di Parlimen oleh YAB Perdana Menteri di mana beliau menyatakan bahawa dua (2) projek RTB hampir siap – satu (1) di Sungai Dua (Seberang Perai Utara) bernilai RM8.6 juta dan satu (1) lagi projek di Lembangan Sungai Kerian (Seberang Perai Selatan) bernilai RM46 juta.

SOALAN NO. :30

DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN LISAN

PERTANYAAN : LISAN

DARIPADA : TUAN LIM GUAN ENG [BAGAN]

TARIKH : 8 NOV 2016 (SELASA)

NO. RUJUKAN : DR16

SOALAN:

Tuan Lim Guan Eng [Bagan] minta PERDANA MENTERI menyatakan perkembangan permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung kelulusan peruntukan RM997 juta bagi mengatasi masalah perparitan dan banjir di negeri ini. Mengapakah projek sambungan seperti Jalan P.Ramlee dan juga di Daerah Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Selatan tidak diluluskan. Senaraikan jumlah peruntukan bagi permasalahan sama yang diberikan kepada negeri-negeri lain sejak tahun 2010 hingga kini.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Permohonan seperti yang dinyatakan oleh YB Bagan berjumlah RM997 juta adalah bagi maksud melaksanakan projek-projek rancangan tebatan banjir (RTB) berikut:

  1. RTB Sungai Pinang
  2. RTB Sungai Juru
  3. RTB Sungai Perai
  4. RTB Bayan Lepas
  5. RTB Lembangan Sungai Jawi

Dalam Rolling Plan 2 (RP2) RMK11, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah menerima sejumlah RM150 juta untuk perlaksanaan kerja-kerja RTB Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Pinang.

Bagi Daerah Seberang Perai Utara, satu projek sedang dilaksanakan di bawah projek sambungan RMKe-10 iaitu RTB Tasek Gelugor yang melibatkan pembinaan rumah pam di Sungai Pengkalan Machang, Sg. Dua, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang bernilai RM8.6 juta. Status pelaksanaan projek adalah 92% siap.

Manakala bagi Daerah Seberang Perai Selatan, satu projek juga sedang dilaksanakan di bawah projek sambungan RMKe-10 iaitu RTB Lembangan Sungai Kerian melibatkan Kerja-kerja Membina Ban dan Struktur di Kg. Tanjung Berembang/ Taman Sempadan dan Kg. Teluk Ipil/ Kg. Teluk, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM46 juta. Status pelaksanaan projek adalah 90% siap. Manakala, permohonan projek di Daerah Barat Daya bagi RTB Bayan Lepas dan RTB Balik Pulau masih belum diluluskan.

Sekian, terima kasih.