Saya merujuk kepada pengumuman yang dibuat oleh Menteri Khairy Jamaluddin baru-baru ini bahawa garis panduan klinikal semasa menyatakan kedua-dua vaksin Sinovac dan AstraZeneca tidak sesuai buat masa ini untuk ibu yang hamil.
Walaupun saya mengalu-alukan penjelasan ini memandangkan ketakutan dan kebimbangan mengenai vaksinasi Covid yang dikongsi oleh para ibu yang hamil dan yang sedang menyusu, namun pengumuman tersebut agak terlewat dan telah menimbulkan keresahan di kalangan para ibu yang telah pun menerima vaksinasi AstraZeneca (“Ibu AZ”). Program sukarela AstraZeneca bermula pada 5 Mei 2021, iaitu hampir 2 minggu sebelum pengumuman ini dibuat oleh Menteri Khairy. Kesan sampingan kepada Ibu AZ dan bayi mereka masih belum dapat dilihat dan ini tidak boleh dipandang ringan.
Oleh yang demikian, saya menggesa Kerajaan untuk segera:
- menggunakan Dana Kecederaan Vaksin Covid-19 oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melindungi Ibu AZ (yang telah menerima vaksinasi mereka dalam tempoh 5 – 17 Mei 2021) dengan jaminan jumlah pampasan di antara RM50,000 – RM500,000 jika Ibu AZ ini mengalami kesan sampingan selepas vaksinasi. Perkara ini juga harus terpakai kepada ibu yang hamil atau yang sedang menyusu dan telah menerima vaksinasi Sinovac sebelum pengumuman oleh Menteri Khairy.
- membuat tindakan susulan daripada aspek perubatan mengenai suntikan dos kedua mereka; dan
- menyediakan arahan yang jelas di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk memastikan ibu yang hamil dan ibu yang menyusu mengetahui risiko yang terlibat.
Modus operandi pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional “buat dulu, rancang kemudian” mesti dihentikan. Mereka tidak boleh membuat pengumuman vaksinasi seperti mana cara mereka mengumumkan SOP yang flip-flop sebelum ini. Menghadapi tekanan jika dijangkiti Covid-19 sudah cukup merisaukan buat ibu yang hamil dan ibu yang menyusu, apatah lagi kerisauan yang tidak terbayang jika mendapat vaksinasi yang tidak sesuai. Risiko satu kematian sudah terlalu banyak. Perkara ini mesti menjadi keutamaan Kementerian Kesihatan hari ini.