Saya menyambut baik usaha presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk menarik golongan bukan Muslim dan membuktikan kepada mereka bahawa PAS bukanlah parti politik yang melampau. Di zaman yang mana sentimen agama dan perkauman sering menjadi bahan tunggangan parti-parti politik, adalah penting untuk PAS tampil kepada masyarakat bukan Muslim di Malaysia sebagai parti politik yang menghormati hak-hak mereka yang tidak beragama Islam, selaras dengan slogan PAS, Islam untuk semua (Islam For All).
Izinkan saya menyarankan 3 perkara kepada PAS, terutamanya, presidennya Hadi Awang yang pasti akan menarik sokongan masyarakat bukan beragama Islam di Malaysia. Pertamanya, Hadi Awang dan PAS perlu bersetuju dengan pandangan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular yang menjadikan Islam sebagai agama rasminya, seperti mana yang disyorkan dan diperakui oleh bekas tiga perdana menteri Malaysia pertama sebelum ini, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan juga Tun Datuk Hussein Onn.
Seterusnya, pemimpin PAS perlu berhenti melabel orang bukan Muslim sebagai ‘kafir’ kerana perkataan ini sering dihamburkan kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia dan secara tidak langsung, memberi persepsi buruk kepada kaum-kaum lain yang bukan beragama Islam. Hadi Awang dan PAS perlu bersetuju bahawa terma tersebut hanya mendatangkan kesan buruk dan mengganggu keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
Tambahan pula, Hadi Awang juga perlu bersetuju bahawa masalah rasuah di Malaysia adalah masalah yang sudah berakar umbi yang tidak mengenal kaum, dan bukan berpunca dari masyarakat bukan Islam sahaja seperti mana yang beliau nyatakan sebelum ini. Kenyataan-kenyataan pukul rata tanpa bukti ini hanya mengeruhkan keadaan dan tidak membantu dalam memupuk budaya perpaduan antara kaum di Malaysia.
Saya berharap Hadi Awang dan PAS mengambil baik 3 saranan ini dan cuba memperbaiki pendekatan mereka dengan masyarakat bukan beragama Islam. Sudah tiba masanya untuk kita menerajui politik negara dengan perbincangan yang berteraskan polisi dan tinggalkan permainan sentimen agama dan kaum.