Kami menyambut baik cadangan yang diusulkan oleh Perdana Menteri yang berhasrat menjemput parti-parti pembangkang untuk mengambil bahagian dalam Majlis Tindakan Ekonomi dan mesyuarat mitigasi Covid-19. Sebagai tambahan kepada mesyuarat pusat, penyertaan parti-parti pembangkang di peringkat negeri dan daerah juga adalah amat penting. Justeru, semua pihak perlu berganding bahu agar komunikasi, perundingan dan perbincangan yang menyeluruh dan berkesan dapat dilaksanakan mengenai cara-cara menangani wabak dan memulihkan ekonomi tanah air ini.
Pada 15 April 2020, Menteri Besar telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Reformasi Ekonomi Negeri (SERC) dan Bank Digital. Usaha yang dilakukan oleh SERC perlu disertai dengan reformasi politik. Hal ini penting untuk mencapai produktiviti ekonomi jangka panjang yang berterusan dan peningkatan daya saing.
Penubuhan Pasukan Bertindak Ekonomi Negeri Johor (JET) yang dicadangkan pada bulan September lalu merupakan sebahagian daripada pakej revitalisasi ekonomi kerajaan negeri. Kami juga berhasrat ingin mengetahui perkembangan terkini mengenai kedua-dua unit yang telah dikemukakan di atas dalam melaksanakan pemulihan ekonomi negeri Johor terutamanya semasa musim wabak ini.
Selain daripada dua unit yang dikemukakan di atas, iaitu Unit Revitalisasi Ekonomi dan Unit Anti-Pandemik yang memerlukan penglibatan daripada wakil pembangkang, kami juga percaya bahawa penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi di peringkat Pejabat Daerah perlu diwujudkan sebagai salah satu langkah yang berkesan untuk menangani masalah ekonomi tempatan. Hal ini juga sekaligus dapat meningkatkan promosi pemulihan ekonomi di negeri Johor. Sehubungan dengan itu, penglibatan ini juga perlulah dilakukan secara menyeluruh, iaitu melibatkan perwakilan parti-parti di peringkat negeri dan juga perwakilan daripada komuniti perniagaan tanpa mengira fahaman politik.
Di samping itu, Dewan Undangan Negeri telah mengadakan sebuah bengkel memperkasakan Dewan Undangan Negeri (Bengkel Memperkasakan Dewan) pada bulan September yang lalu sebagai satu langkah untuk menuju negeri maju dengan menubuhkan beberapa ahli jawatankuasa istimewa terpilih yang baharu (Ahli Jawatankuasa Terpilih). Usaha untuk penambah baikan Dewan Undangan Negeri ini perlu dilaksanakan dalam Mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang akan datang.
Tuntasnya, pakej pembaharuan ekonomi Johor mestilah diletakkan pada tahap yang mampu untuk mendorong peningkatan produktiviti. Hal ini demikian kerana, produktiviti adalah penanda aras untuk pemulihan ekonomi dan daya saing sesebuah negara. Oleh itu, perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana ia mampu menentukan masa depan Johor selepas tamatnya wabak Covid-19 kelak.