Saya begitu kecewa menyaksikan kegagalan Menteri Kerajaan Perikatan Nasional dalam menangani isu pemeriksaan haid ke atas murid dan jenaka rogol yang heboh diperkatakan sejak kebelakangan ini. Pertama kali Ain tweet adalah pada 24 April. Dua minggu kemudian, keadaan menjadi semakin tidak terkawal bermula dengan jenaka dan ancaman rogol, isu penampilannya sehinggalah timbul amaran penggantungan sekolah. Mengenai isu pemeriksaan haid, Menteri Pendidikan, Radzi Jidin dilaporkan berkata; “… semua bahagian kami tanya dan jawapannya, tiada (amalan seperti itu)”. Kegagalan mengambil tindakan segera oleh mereka yang berkuasa akan menghantar mesej yang salah kepada pelaku dan mangsa.
Pada tahun 2018 sejurus selepas Menteri dan Timbalan Menteri daripada Harapan mengangkat sumpah, sebuah laporan akhbar mendedahkan satu kes gangguan seksual melibatkan seorang ketua jabatan di Hospital Sungai Buloh dan membabitkan beberapa orang doktor pelatih. Menteri Kesihatan ketika itu, Dr Dzulkefly Ahmad telah mengambil tindakan pantas dengan menubuhkan Badan Siasatan Bebas yang turut dianggotai wakil daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Sebagai Timbalan Menteri KPWKM ketika itu, saya terlibat dalam beberapa siri mesyuarat bersama Dr Dzulkefly dan saya melihat komitmen dan ketegasannya dalam menangani isu gangguan seksual tersebut. Beliau bertegas: “Terdapat aduan, (tetapi) entah bagaimana perkara itu tidak dapat dikendalikan secara komprehensif. Hanya apabila saya memberitahu mahu mencari punca permasalahan ini bermula dari mana, ramai yang datang secara sukarela,”. Selepas tempoh pergantungan dan 31 mesyuarat diadakan serta 38 orang saksi telah tampil ke hadapan, pelaku akhirnya dipecat daripada perkhidmatan awam. Saya menyaksikan sendiri bagaimana mantan Timbalan Perdana Menteri yang juga mantan Menteri KPWKM, Dr Wan Azizah bangun dari kerusinya untuk menenangkan doktor pelatih terbabit apabila mereka mula menangis dan berkongsi mengenai trauma mereka. Tindakan pantas oleh mereka yang berkuasa akan memberikan mesej yang jelas kepada pelaku dan mangsa.
Berhentilah menyerang Ain, beliau hanya menyampaikan mesej mengenai apa yang sedang berlaku. Isu utamanya bukan mengenai Ain. Cubaan untuk mengenepikan pendapat Ain perlu dihentikan. Ain bukan satu-satunya yang bangun bersuara. Ketika di KPWKM, kami telah mengarahkan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melakukan tinjauan menerusi dalam talian mengenai isu gangguan seksual yang melibatkan 28,852 responden.
Umur: 1,339 responden berumur di bawah 18 tahun, sama seperti Ain. 5,586 responden yang lain berumur di antara 18 hingga 20 tahun (hanya sedikit berusia daripada Ain) turut mengambil bahagian.
Pekerjaan: Soalan mengenai pekerjaan menunjukkan 1,176 adalah pelajar sekolah, 11,120 menyatakan mereka adalah pelajar kolej atau universiti dan 7,186 daripada perkhidmatan awam.
Pengalaman: 64% daripada 28,852 responden menyatakan mereka secara peribadi pernah mengalami gangguan seksual.
Hasil kajian ini menjadi asas mengapa begitu ramai Ahli Parlimen menuntut agar Rang Undang-Undang Gangguan Seksual dibentangkan segera.
Sekiranya Menteri Perikatan Nasional serius mahu menyelesaikan masalah seperti ini, mereka mesti mengubah modus operandi yang biasa digunakan, iaitu beralih daripada sikap penafian kepada mengakui kewujudan isu tersebut. Menafikan kewujudan masalah hanyalah petanda sifat kemalasan. Memberikan alasan status quo juga tidak memadai. Menteri bukan dibayar untuk hanya berdiam diri atau mengharapkan masalah itu akan hilang begitu sahaja. Rakyat Malaysia mengharapkan Menteri dan Timbalan Menteri seperti Radzi Jidin, Rina Harun dan Siti Zailah menjadi lebih berani dan proaktif berhadapan dengan isu. Sekiranya mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan, rakyat Malaysia perlu membuka laluan kepada Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Wan Azizah dan Dr Maszlee Malik untuk kembali melakukannya.