Berikutan PKP 3.0 yang berkuatkuasa mulai hari ini, saya menggesa kerajaan untuk membuat perancangan yang lebih menyeluruh sebelum mengumumkan sebarang pakej bantuan PKP agar melaburkan sumber yang terhad dalam sektor yang paling produktif dan terdesak.
Antaranya, pihak kerajaan seharusnya merancakkan proses digitalisasi dalam setiap lapisan kerajaan dan jabatan untuk mengurangkan karenah birokrasi dan keperluan rakyat untuk beratur untuk menjalani urusan di pejabat jabatan kerajaan di bawah norma baharu.
Dalam dua kali PKP yang lepas, kerajaan telah membelanjakan lebih RM600 bilion bagi melancarkan pelbagai jenis pakej ransangan.
Walau bagaimanapun, keberkesanan pakej-pakej tersebut dikira tidak memuaskan kerana tidak mampu menambah baik keadaan ekonomi yang kian merosot.
Daya saing negara juga semakin menurun kerana pelbagai sektor ekonomi dan bisnes telah menghadapi pelbagai jenis cabaran selama setahun.
Pakej ransangan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan ekoran daripada penularan pandemik adalah seperti berikut:
- PRIHATIN: RM250 bilion
- PRIHATIN SMEs: RM10 bilion
- PENJANA: RM35 bilion
- Kita PRIHATIN: RM10 bilion
- PERMAI: RM15 bilion
- PEMERKASA: RM20 bilion
Namun, pakej ransangan ekonomi tidak membawa impak signifikan kerana kerajaan membelanjakan wang dan sumber ke atas golongan yang tidak begitu memerlukan bantuan atau sektor ekonomi yang tidak produktif.
Dengan kata lain, sumber negara yang tidak diagihkan dengan efektif tidak mampu membantu golongan dan sektor ekonomi yang paling terdesak. Selain daripada kemerosotan ekonomi, persekitaran ekonomi juga tidak sesekali berubah untuk menjadi lebih mesra dan mudah.
Antara matlamat penting dalam pelaksanaan PKP adalah mengurangkan jumlah orang yang keluar dari rumah.
Namun begitu, didapati bahawa orang ramai masih beratur panjang di beberapa jabatan kerajaan yang penting, seperti Pejabat Tanah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Pejabat Kerajaan Tempatan dan sebagainya.
Sesetengah jabatan kerajaan mengehadkan jumlah pelanggan yang beratur, namun tindakan tersebut mendatangkan kesulitan kepada mereka yang memang memerlukan perkhidmatan di jabatan kerajaan.
Dalam PKP ketiga ini, kerajaan seharusnya memberi keutamaan bagi merancakkan proses digitalisasi dan “informatization” dalam segala urusan kerajaan dengan menyepadukan sumber dan maklumat dalam semua jabatan kerajaan dan membolehkan rakyat menjalankan urusan secara online.
Dengan adanya inisiatif ini, orang ramai tidak perlu lagi beratur panjang di jabatan kerajaan, manakala risiko menghidapi Covid-19 juga dapat dikurangkan secara berkesan.
Sebagai contoh, dalam kawasan DUN saya iaitu Cameron Highlands, penduduk tempatan yang berhasrat menjalankan urusan penukaran nama dalam tanah atau membeli Carian Rasmi perlu merentas daerah kerana Kerajaan Pahang belum lagi melaksanakan sistem e-Tanah secara menyeluruh.
Oleh itu, penduduk perlu memandu selama 8 jam agar menjalankan urusan berkenaan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang yang sejauh 300km di Kuantan.
Sekiranya Kerajaan Persekutuan sudi melaburkan wang dan sumber yang diperlukan untuk membantu kerajaan negeri merancakkan proses digitalisasi, karenah birokrasi semestinya dapat dikurangkan, manakala rakyat juga dapat menjimatkan masa dan kos untuk menjalankan urusan berkenaan.
Pada masa yang sama, proses digitalisasi juga akan meningkatkan kecekapan dalam perkhidmatan jabatan kerajaan serta mengurangkan keperluan untuk beratur dan berkumpul di jabatan kerajaan.
Proses digitalisasi dalam pentadbiran kerajaan merangkumi tiga sektor utama, iaitu Government-to-Government (G2G), Government-to-Business, (G2B) dan Government- to-Citizen, (G2C).
Kini, proses digitalisasi kerajaan akan menghadapi cabaran utama dari dua segi. Pertamanya, dari segi G2G yang menitikberatkan “informatization” antara lapisan kerajaan dan jabatan kerajaan, sumber kerajaan perlulah disepadukan, diseragamkan, dan dikongsi oleh semua jabatan berkenaan.
Keduanya, setelah melaksanakan “informatization” dari segi G2G, kerajaan perlu meningkatkan penyertaan bisnes dan rakyat dalam G2B dan G2C dengan membekalkan pelbagai jenis perkhidmatan online agar rakyat tidak perlu lagi beratur dan berkumpul di Jabatan Kerajaan untuk tujuan menjalankan urusan yang sepatutnya boleh dicapai di hujung jari.