Berikutan rekod tertinggi 199 kematian pada 21 Julai akibat COVID-19 menjadikan jumlah kematian kumulatif menjadi 7,440, ada keperluan untuk memperuntukkan segera tambahan RM4 bilion kepada sektor kesihatan bagi memerangi COVID-19. Apa yang lebih membimbangkan daripada 11,985 kes harian pada 21 Julai yang menjadikan kes kumulatif kepada 951,884, kadar positif juga malangnya telah mencecah tahap tertinggi 12.51%.
Catatan rekod kegagalan seperti itu walaupun dengan pelaksanaan Darurat dan “total lockdown” menuntut Kerajaan PN untuk meningkatkan lagi usaha, “uji, kesan, kuarantin dan rawat”, seperti disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagi memastikan kadar positif ujian saringan di bawah saranan 5%. Kegagalan untuk mempunyai strategi ujian saringan yang komprehensif bererti kebarangkalian penularan dalam komuniti yang lebih tinggi jika kes positif masih tidak dapat dikesan.
Kerajaan juga perlu menggunakan segala cara yang mungkin untuk memastikan kadar vaksinasi yang lancar dan cepat yang dapat menyelamatkan dan mengelakkan kehilangan ribuan nyawa. Pekerja kesihatan perlu dibantu dan kejadian memalukan pemberian vaksin kosong perlu dipastikan tidak akan berulang dalam apa jua keadaan. Tambahan RM4 bilion juga akan membantu membeli peralatan, infrastruktur kesihatan dan sistem sokongan yang diperlukan.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba juga perlu berhenti berlengah dan menangani kegagalan dalam memberikan jawatan tetap kepada 35,216 pekerja kesihatan kontrak yang terdiri daripada pelbagai skim termasuk 23,077 pegawai perubatan, 5,000 pegawai pergigian dan 7,139 pegawai farmasi, yang telah dijanjikan beliau akan dibangkitkan dan diselesaikan dalam mesyuarat Kabinet bulan lalu. Dr Adham telah mendapat reputasi antarabangsa di atas ketidakcekapan beliau dan tidak patut menambah sifat mungkir janji dalam resume beliau yang sudahpun meragukan.
Menggunakan “total lockdown” dan SOP belum terbukti berkesan, terutamanya apabila Kerajaan PN mengamalkan amalan dua darjat dalam menguatkuasakan sekatan PKP antara VIP dan rakyat biasa, serta dasar yang berubah-ubah dan berpusing-pusing. Pengenaan denda RM1,500 baru-baru ini kepada Menteri Besar Kedah kerana melanggar sekatan PKP sedangkan rakyat biasa didenda RM2,000 adalah contohnya.
Kegagalan memperuntukkan tambahan RM4 bilion untuk sektor kesihatan dan kegagalan Menteri Kesihatan untuk memberikan jawatan tetap kepada 35,216 pekerja kesihatan kontrak hanya akan menyebabkan imuniti kelompok dicapai melalui jangkitan dan bukan vaksinisasi sahaja.