Skip to content

4 objektif rombongan wakil rakyat di Jawatankuasa Tempat Ibadat Gua Batu Kapur ke arah perizaban sah

Dua hari lepas, kami selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Perak telah menghadiri sebuah mesyuarat yang pertama bagi Jawatankuasa Khas Tempat Ibadat Gua Batu Kapur JKRIGBK Negeri Perak, atas undangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Kerajaan Negeri. Kami menyambut baik atas penerimaan syor kami bagi mewujudkan sebuah jawatankuasa merentas parti, yang pastinya turut melibatkan ADUN-ADUN Pembangkang dalam kesungguhan menyelesaikan isu yang berpanjangan ini.

Jawatankuasa ini, menurut pendirian kami, haruslah membawa ke arah perizaban dan pewartaan (mengikut seksyen 62 Kanun Tanah Negara) semua tapak yang terjejas sebagai tanah ibadat yang sah – dengan pematuhan syarat-syarat keselamatan awam dan perlindungan alam sekitar. Ini adalah demi objektif utama seperti berikut:

  • mengekalkan tempat-tempat ibadat bagi penganut;
  • memperkasakan lokasi-lokasi ini sebagai pemacu ekonomi setempat melalui pelancongan;
  • menonjolkan aset-aset alam semulajadi dan kebudayaan yang unik ini;
  • mengisi kelompongan dasar berkenaan penggunaan gua batu kapur dan tempat ibadat agama selain Islam.

Mesyuarat ini adalah susulan daripada syor kami setelah Mesyuarat MMK memutuskan bahawa semua rumah ibadat yang berada di gua batu kapur yang berstatus tanah kerajaan perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan perizaban sebagai tanah ibadat. MMK BIL 2055 BERTARIKH 12 JANUARI 2022 menyatakan:

”MEMUTUSKAN SUPAYA KESEMUA RUMAH IBADAT YANG BERADA DI DALAM GUA BATU KAPUR YANG BERSTATUS TANAH KERAJAAN PERLU MENGEMUKAKAN PERMOHONAN PENGGUNAAN TANAH KERAJAAN MENGIKUT UNDANG-UNDANG DAN ULASAN TEKNIKAL YANG LENGKAP PERLU DISEDIAKAN OLEH AGENSI TEKNIKAL YANG TERLIBAT UNTUK DIANGKAT KE PBN PERMOHONAN TERSEBUT”

Objektif induk cadangan dan penyertaan pihak kami dalam jawatankuasa ini adalah bagi memastikan semua pihak yang berkaitan, pihak berkepentingan dan pihak berkeperluan dapat dikerah untuk bersama-sama menyelesaikan masalah berkenaan tempat ibadat yang bertapak di gua batu kapur di seluruh Negeri Perak.

Kami juga berpandangan bahawa kesemua tempat ibadat yang telah menerima notis pengosongan seharusnya diberikan dukungan, bantuan dan panduan bagi meneruskan aktiviti mereka secara lebih mampan dan selamat.

Kami turut membangkitkan kekhuatiran pihak kami terhadap kebarangkalian usaha pewartaan akan digagalkan sebelum permulaan sekiranya garis panduan perancangan dan pembinaan sedia ada diangkat sebagai piawaian pertimbangan. Kami amat menyambut baik penggunaan falsafah dan pendekatan yang dizahirkan oleh PTG, iaitu ‘in situ’ tidak sama dengan yang baru. Ini membawa maksud piawaian pertimbangan yang unik dan sesuai, yakni luar biasa akan digunakan dalam segala pertimbangan.

Dalam mesyuarat tersebut juga, notis pengosongan yang telah dikemukakan oleh PTG telah disahkan sekali lagi bahawa ia masih kekal berkuatkuasa dan tidak ditarik balik seperti didakwa oleh sesetengah pihak. Walau bagaimanapun, atas permohonan penjelasan daripada pihak kami, PTG telah memberikan jaminan bahawa tiada sebarang tindakan penguatkuasaan (pengosongan dan/atau perobohan) akan diambil selagi langkah-langkah berikut belum diterokai dan dilaksanakan secara mendalam oleh semua pihak yang berkaitan:

  • Pengemukaan permohonan perizaban tapak sebagai tempat ibadat oleh pihak pengusaha;
  • Penetapan penilaian status kedudukan semasa;
  • Ulasan dan pandangan agensi dirujuk;
  • Keputusan oleh Pihak Berkuasa Negeri;
  • Penentuan syarat-syarat yang perlu dipatuhi.

Kami turut mencadangkan perkara-perkara yang berikut:

  1. Suatu bengkel diadakan oleh pihak PTG dan Pejabat Tanah Daerah bersama-sama pengusaha tempat ibadat yang telah menerima notis pengosongan, bagi penjelasan proses permohonan, serta panduan dan bantuan dalam menyempurnakan permohonan tersebut. YB ADUN Pasir Pinji telah bersetuju menyalurkan peruntukkan RM 5 000 bagi tujuan tersebut.
  2. Segala pertimbangan BERKENAAN keselamatan awam dan penilaian geoteknikal, serta segala cadangan dan syarat penambahbaikan sekiranya ada, sebaiknya dan seharusnya menjurus kepada penambahan dan/atau perobohan kepada struktur sedia ada dengan seminimum mungkin.
  3. Atas implikasi kos yang lazimnya amat tinggi, Kerajaan Negeri dipohon dapat memperuntukkan sejumlah wang (sumbangan) dalam mengkaji status keselamatan semasa dan penilaian geoteknikal tempat-tempat ibadat tersebut.
  4. Kerajaan Negeri memohon kepada Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA), dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mendapatkan dana bantuan tambahan bagi menjalankan penilaian geoteknikal.
  5. Punca kuasa diwujudkan bagi JKRIGBK menjadi wadah serta institusi utama, tanpa menghakis kuasa muktamad MMK mengikut undang-undang tubuh Negeri dan Peraturan Tanah Negeri-dalam proses pembuatan keputusan serta penggubalan dasar segala yang berkaitan dengan pengurusan gua batu kapur, seperti:

    (a) Dasar dan RUU pengurusan gua batu kapur dan bukit batu kapur.

    (b) Dasar tanah dan tempat ibadat selain Islam Negeri Perak.