Sebagaimana dijanjikan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengedarkan 40,000 kit ujian kendiri COVID-19 percuma secara berfasa bermula pada minggu hadapan.
Selain Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN), ahli-ahli Parlimen dan Senator, ia turut akan diedarkan ke pejabat daerah, serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi kegunaan rakyat Pulau Pinang yang memerlukan secara percuma.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan telah menerima jemputan saya untuk mengadakan lawatan khas ke negeri Pulau Pinang pada Sabtu ini, 11 September 2021. Sesi lawatan berkaitan bakal memfokuskan kepada keperluan kelengkapan perubatan hospital-hospital serta pusat-pusat perubatan di negeri ini dalam menghadapi peningkatan kes harian kini.
Selain sesi taklimat khas membabitkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Pulau Pinang, turut akan diadakan adalah lawatan ke Hospital Pulau Pinang bagi meninjau situasi semasa. Malah, saya juga telah mengutus surat rasmi kepada YB Menteri bertarikh 8 September 2021 berhubung keperluan senarai kelengkapan perubatan dan kepakaran yang memerlukan perhatian khas pihak kementerian.
Sebagai makluman, seramai 2,481 individu telah hadir pada sesi walk-in Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Peringkat Negeri Pulau Pinang semalam, 8 September 2021. Pecahan mengikut Pusat Pemberian Vaksin (PPV) adalah seperti berikut:- (orang)
- PPV SPICE CC: 327
- PPV Tapak Pesta Sungai Nibong: 450
- PPV Kompleks Sukan Balik Pulau: 156
- PPV SP Arena: 238
- PPV Tapak Ekspo Seberang Jaya: 290
- PPV Vangohh Eminent: 162
- PPV Dewan Milenium: 209
- PPV Pusat Konvensyen Perda: 397
- Dewan Serbaguna Jawi: 152
- Dewan Sungai Bakap: 100
Mereka yang layak adalah amat dialu-alukan untuk hadir pada sesi berkaitan bagi membolehkan seluruh populasi dewasa di negeri ini menerima suntikan vaksin dan seterusnya mencapai imuniti kelompok secara keseluruhan bagi negeri Pulau Pinang.
Penang Lawan COVID-19!