Skip to content

50 tahun bertarung, tetap terus berjuang

Tahun 2016 terus menjadi tahun yang sangat mencabar bagi Malaysia dan parti. Pada saat kita meraikan Ulang Tahun ke-50 parti, kita menghargai mandat dan aspirasi rakyat untuk menggerakkan parti ke hadapan dan mencapai kejayaan yang lebih besar dalam misi politik kita.
 
Persekitaran politik berubah pesat pada tahun ini dan parti-parti politik bertindak balas dengan menyusun semula parti mereka untuk menghadapi cabaran politik dan pada masa yang sama merebut peluang politik yang  hadir.
 
Di peringkat kebangsaan, mobilisasi perhimpunan Bersih 5 dan kumpulan Gerakan Baju Merah telah meningkatkan ketegangan politik di negara ini ketika negara sedang bersiap menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
 
Perdana Menteri masih dibelenggu dengan skandal 1MDB tetapi masih teguh berkuasa kerana beliau mengumpul segala kekuatan politiknya untuk menangkis desakan sengit untuk mengguling dan memaksa beliau bertanggungjawab terhadap skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara.
 
BN seolah-olah telah memulihkan kekuatan mereka berikutan keputusan yang memberangsangkan dalam pilihan raya negeri Sarawak dan kejayaan dalam mengekalkan dua kerusi Parlimen pada pilihan raya kecil sebelum ini.
 
Negara ini juga dicengkam keresahan akibat ketidaktentuan sikap PAS dalam keadaan politik semasa, di mana mereka dilihat bergerak seiring dengan Umno dalam agenda Islam. Ketegaran mereka dalam mendesak pelaksanaan undang-undang Hudud di Parlimen telah menimbulkan banyak ketegangan dalam kalangan parti-parti politik sama ada dari BN atau barisan pembangkang.
 
Sementara itu, pembentukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia oleh musuh Dato’ Seri Najib Tun Razak, Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyuddin Yassin telah meningkatkan ketegangan politik dalam kalangan masyarakat Melayu.
 
Pada masa ini, Pakatan Harapan masih cuba untuk bertindak bersama ketika berhadapan senario politik yang pantas berubah.
 
Di peringkat negeri Pulau Pinang, penangkapan dan pendakwaan Ketua Menteri dan Setiausaha Agung Sdr Lim Guan Eng kerana rasuah merupakan satu cabaran yang besar terhadap parti dan kerajaan negeri.
 
Parti telah bersiap siaga dengan kemungkinan pilihan raya Negeri awal untuk mengembalikan mandat kepada rakyat memilih kerajaan mereka. Walau bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan dan parti tetap bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan perubahan.

Dalam menghadapi tahun yang tidak menentu, DAP Pulau Pinang tetap yakin dalam kerja-kerja politik kita dan mengalu-alukan mandat baharu daripada rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Salah satu acara kemuncak tahun ini adalah sambutan ulang tahun ke-50 parti. Pulau Pinang telah dipilih untuk pelancaran kebangsaan sambutan ini pada 19 Mac 2016. Negeri ini juga ditugaskan menerbitkan buku yang menghimpunkan perjuanagn parti di Pulau Pinang sejak 50 tahun yang lalu. Edisi Cina buku ini telah dilancarkan pada 24 September tahun ini. Pasukan editorial masih dalam proses mencetak kepada bahasa-bahasa lain.
 
Satu majlis makan malam untuk kutipan dana juga diadakan di sPICE Arena pada 24 September untuk meraikan ulang tahun kita. Sementara itu beberapa aktiviti lain yang dijadualkan akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
 
Parti juga dengan tangkas menggerakkan jentera untuk melancarkan kempen “Simpati, Solidariti dan Sokongan kepada Lim Guan Eng” apabila Setiausaha Agung kita ditangkap dan kemudian didakwa di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 30 Jun 2016. Parti merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli, penyokong dan mereka yang mengambil berat dengan maju ke hadapan untuk bersama Sdr Lim Guan Eng kerana beliau menghadapi satu lagi pendakwaan dalam kerjaya politiknya.
 
Parti juga menyerahkan banyak sumber dan bantuan tenaga kerja semasa pilihan raya negeri Sarawak. Ia adalah satu pengalaman berharga untuk ahli-ahli kita yang berkempen di kawasan luar bandar di Sarawak.
 
Pendaftaran pengundi telah dijalankan di pelbagai lokasi di seluruh negeri ini untuk mendapatkan mendaftar pengundi baru bagi pilihan raya umum ke-14. Pada tahun ini, Suruhanjaya Pilihan Raya sedang menjalankan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan parti telah mengemukakan petisyen untuk beberapa kawasan pilihan raya memandangkan jurang perbezaan bilangan pengundi yang keterlaluan. 
 
Wakil-wakil parti dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan JKKK telah menunjukkan tahap komitmen yang tinggi dengan prestasi yang baik demi rakyat.
 
Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan majlis-majlis tempatan kini memberi fokus kepada pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, terowong dasar laut dan projek jalan raya utama, Gurney Wharf, rumah mampu milik dan kemudahan asas. Penekanan turut diberi kepada program kesihatan, alam sekitar, kebudayaan, pendidikan,  sosial, agama dan sukan yang inklusif gender dan progresif.
 
Parti menganggap projek-projek tersebut adalah penting untuk pembangunan masa depan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi dengan gaya hidup mampan dan berstandard tinggi. Kerajaan Negeri mengamalkan prinsip urus tadbir berteraskan Cekap, Akauntabel dan Telus dalam melibatkan rakyat dan masyarakat sivil untuk menangani keprihatinan mereka berkaitan alam sekitar dan sosial.
 
Sebagai parti utama dalam pakatan Kerajaan Negeri, kita telah menunjukkan kepimpinan politik dalam memimpin negeri ke hadapan walaupun berdepan dengan sumber dan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan yang sangat terbatas. Parti juga mampu bekerjasama dengan penjawat awam dalam menyampaikan dan memenuhi manifesto pilihan raya kita bagi mencapai Pulau Pinang yang Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat. 
 
Walaupun keadaan ekonomi global yang mencabar, Pulau Pinang telah mencapai kadar pertumbuhan yang paling tinggi di negara ini sejak dua tahun lalu dan berdaya tahan dalam menghadapi penstrukturan semula syarikat-syarikat multinasional dalam sektor pembuatan di negeri ini. Sektor perkhidmatan dan pelancongan negeri ini juga semakin meningkat bagi memastikan kesimbangan pertumbuhan ekonomi.
 
Parti kuat dalam menghadapi cabaran politik dari parti-parti komponen BN dan organisasi masyarakat awam yang semakin lantang menyerang prestasi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi kerajaan yang lain.
 
Dalam hal ini, parti sedang bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan membentuk sebuah jawatankuasa kempen pilihan raya yang diketuai oleh Setiausaha Negeri Sri Lim Hui Ying.
 
Perhatian khusus diberikan bagi meningkatkan jentera media sosial dalam parti dan wakil-wakil parti dalam kerajaan. Parti telah meluluskan lebih banyak sumber kepada jabatan ini memandangkan kepentingannya dalam mendekati rakyat.
 
Baru-baru ini, parti juga telah memulakan satu program khas yang dipanggil “Sedia Mendengar” untuk pemimpin-pemimpin parti dan Adun serta Ahli Parlimen melawat kawasan pilihan raya bagi mendengar permasalahan rakyat dan menggerakkan sumber-sumber untuk membantu rakyat mengatasi masalah mereka.
 
Dalam tempoh ini, parti dapat meneruskan operasi dan program kita serta meningkatkan sumber manusia di ibu pejabat kerana kemampuan kewangan kita. Kita perlu memastikan ibu pejabat kita dapat menyokong kempen parti dalam pilihan raya umum akan datang.
 
Organisasi parti sedang bekerja dalam menggerakkan sokongan akar umbi dan cawangan. Kebanyakan cawangan yang aktif dan dapat mematuhi prosedur organisasi parti.
 
DAPSY, Wanita dan Veteran menjalankan program dan aktiviti berasingan. Namun semuanya sejajar dengan wawasan dan misi parti untuk Malaysia dan Pulau Pinang.

Negara dijangka berdepan cabaran besar memandangkan pelbagai isu-isu nasional tidak dapat diselesaikan. Pilihan raya umum akan datang pasti menjadi yang paling sukar. Ketika kita meraikan 50 tahun berjuang bersama ini, mari kita lihat ke hadapan dan berusaha dengan lebih gigih untuk merealisasikan wawasan politik kita untuk Malaysia yang adil dan saksama bagi semua rakyat Malaysia.
 
Di Pulau Pinang, kita memiliki peluang sebagai kerajaan Negeri untuk membantu memenuhi wawasan ini. Mari kita meneruskan perjuangan!