Skip to content

780 orang pemilih Mengkibol dipindahkan ke DUN Mahkota secara haram?

Saya menyeru kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya supaya menjalankan tugas yang diamanahkan dengan lebih teliti, profesyenal dan bebas daripada apa-apa pengaruh politik.

Baru-baru ini kami terima aduan daripada penduduk-penduduk di Kampong Sri Lalang bahawa tempat mengundi mereka (Daerah Mengundi asal – Pekan Sri Lalang Barat dalam kawasan DUN Mengkibol) telah dipindahkan ke kawasan DUN Mahkota dan mengundi di daerah mengundi (DM) Kampong Paya Barat yang terletak sejauh 12km dari tempat kediaman mereka. Setelah menerima aduan seperti ini, saya telah menjalankan lawatan rumah ke rumah di sekitar kawasan Jalan Paya, Kampung Sri Lalang pada minggu lepas untuk membantu penduduk setempat membuat semakan tempat mengundi mereka. Antara 25 orang pemilih yang menerima temubual dan semakan kami terdapat 8 kes pemilih telah dipindah dari DM di Kampung Sri Lalang ke Kampung Paya.

Terdapat sebuah keluarga Chong yang mempunyai 4 orang pemilih dalam alamat yang sama, 3 daripadanya telah dipindahkan ke Kampung Paya. Dalam satu lagi keluarga You, anak dipindahkan ke Kampung Paya dan ibu bapa masih kekal mengundi di Kampung Sri Lalang. Saya berharap kes-kes ini hanya kes terpencil yang merupakan kesalahan teknikal sahaja tetapi bukannya sesuatu pindaan yang memihak kepada kepentingan politik mana-mana pihak parti politik.

Selama ini, kebebasan SPR sering dipertikaikan kerana dikatakan tidak menjalankan tugas dengan bebas tetapi lebih memihak kepada parti pemerintah. Baru-baru ini, pihak SPR telah menjalan proses belah bahagi daerah mengundi seramai 13020 pemilih dalam Parlimen Kluang dan 6197 pemilih di Mengkibol terjejas. Antaranya seramai 780 orang pemilih dari kawasan DUN Mengkibol telah dipindah ke kawasan DUN Mahkota. Menurut undang-undang, SPR berkuasa membuat pindaan ke atas lokaliti dan daerah mengundi. Bagaimana pun, sebarang pindaan yang melibatkan sempadan kawasan pilihanraya (sama ada kawasan DUN atau Parlimen) memerlukan kelulusan daripada Dewan Negeri atau Parlimen. Dengan kata lain, pihak SPR tidak boleh membuat pindaan ke atas sempadan kawasan DUN dengan apa pun alasan tanpa kelulusan daripada Dewan Negeri.

Berdasarkan kajian awal kami, proses belah bahagi daerah mengundi yang diumumkan oleh SPR dalam warta bertarikh 29 April 2016 mempunyai implikasi yang besar dan ratusan ribu pemilih seluruh negara. Di DUN Mengkibol sahaja sebanyak 780 orang pemilih dipindah ke kawasan Mahkota tanpa sebarang notis atas prosidur yang sewajarnya. Pihak SPR haruslah memberikan penjelasan tentang pindaan kali ini sama ada proses ini dibenarkan di sisi undang-undang.

Oleh kerana pindaan kali melibatkan bilangan pemilih yang ramai saya mengingatkan para pemilih supaya membuat semakan sekarang melalui laman web rasmi SPR http://daftarj.spr.gov.my/DAFTARJ/ untuk memastikan tempat mengundi mereka ditempatkan berdasarkan alamat kediaman mereka. Sekiranya mereka mendapati berlakunya sebarang kesilapan mereka haruslah membuat aduan kepada pihak SPR dengan secepat yang mungkin. Saya juga menasihatkan para pemilih yang bermasalah ini berhubung dengan kami pada talian 010-535 1758 atau 010-5171758.

Memandangkan hakikat bahawa terdapat banyak kes pemilih dipindahkan ke Daerah Mengundi yang jauh daripada tempat kediaman mereka saya menyeru pihak SPR supaya menyemak semula segala pindaan yang telah dibuat dalam proses belah bahagi daerah mengundi yang dijalankan awal tahun ini. Tindakan ini adalah penting untuk memelihara kewibawaan dan nama baik pihak SPR di samping mengurangkan kesulitan yang dihadapi oleh pemilih semasa PRU akan datang.