Skip to content

Kerajaan negeri Pahang perlu bertimbang rasa kepada pekebun-pekebun yang mengusahakan ladang musang king sejak beberapa dekad lalu

Pada 27 Januari 2023, Menteri Besar Pahang Dato’ Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail menerbitkan satu hantaran yang bertajuk: “Kerajaan Negeri Pahang Menasihatkan Pekebun Durian Musang King Pertimbangkan Semula Tindakan Semakan Kehakiman” di halaman Facebook beliau.

Dalam hal ini, saya selaku Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA) sekali lagi menegaskan bahawa pekebun-pekebun Musang King di daerah Raub sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk menjalankan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi suatu penyelesaian berbentuk menang-menang (win-win).

Pekebun-pekebun musang king Raub tanpa permit ini menyumbang besar kepada industri durian Malaysia sehingga menjadikan Raub sebagai Bandar Musang King yang terkenal di seluruh dunia.

Pekebun-pekebun yang bermula mengusaha di tanah terbiar pada tahun 1960an tersebut sebenarnya sudi membayar cukai tanah yang dihutangkan sejak zaman bercucuk tanam supaya meningkatkan pendapatan kerajaan negeri.

Kebanyakkan mereka mula memohon permit penanaman sejak tahun 1960 an, pihak kerajaan tempatan juga berpengetahun perkenaan dengan kewujudan mereka dan tidak pernah mengambil tindakan.

Perlu diingatkan bahawa pekebun tidak pernah membantah untuk membayar cukai tanah kepada kerajaan negeri ataupun bekerjasama dengan kerajaan negeri, apa yang pekebun membantah adalah syarat-syarat skema pihak RPDR-PKPP yang bersifat tidak menghargai titik peluh pekebun-pekebun durian.

Antara syarat-syarat skema pihak RPDR-PKPP yang tidak munasabah adalah penentuan harga tetap durian. Pekebun-pekebun juga dikehendaki untuk menjual kebanyakkan hasil durian kepada korporat swasta tersebut secara mandatori. Hal ini berkemungkinan mendorong kepada monopoli pasaran durian oleh korporat tersebut dan menjejaskan seluruh industri durian.

Pekebun menjalankan tindakan semakan kehakiman (judicial review) adalah bertujuan untuk menuntut keadilan dan membela hak mereka dari segi undang-undang.

Walau bagaimanapun, atas semangat rundingan dan demi kebajikan rakyat, saya menyeru Menteri Besar yang mengetuai kerajaan perpaduan baharu perlu mengkaji semula dasar memajak tanah kepada pihak RPDR-PKPP. Beliau juga perlu mengambil pandangan Pakatan Harapan Pahang dalam pertimbangan untuk menyelesaikan kemelut ini sebelum menyeru pekebun bertimbang semula tindakan semakan kehakiman.

Pendirian Pakatan Harapan Pahang berkenaan isu Musang King ataupun isu pekebun tanpa permit adalah konsisten: kerajaan negeri Pahang perlu bertimbang rasa kepada pekebun-pekebun yang mengusahakan ladang musang king sejak beberapa dekad lalu. Anak jati Pahang tetapi bukan korporat swasta, perlu diutamakan dan dijadikan rakan strategik dalam menjayakan industri Musang King dalam negeri.

Saya mengalu-alukan sekiranya pihak kerajaan negeri Pahang sudi menganjurkan dialog awam ataupun program town hall dengan pekebun-pekebun untuk menjalin hubungan kerjasama yang berbentuk menang-menang (win-win), supaya dapat memajukan industri durian ke suatu kemuncak baru.