Skip to content

Abdul Hadi Awang dakwa BN terima rasuah dan PH ada komunis tolak raja: Abdul Hadi sila buat laporan polis atau mohon maaf

Presiden PAS Abdul Hadi Awang seharusnya melihat dalam cermin siapakah yang berbohong kepada orang Melayu Islam.

Dalam satu kuliah mingguan di Marang, Terengganu beliau mengatakan bahawa PAS tidak boleh “bersama dengan Barisan Nasional (BN) kerana ada keruh… keruhnya masih ada penerima rasuah. Lepas tu rakus pula nak perintah lagi.”

Peliknya, semasa bersekongkol dengan parti-parti BN dalam kabinet Muhyiddin dan kemudian kabinet Ismail Sabri sebelum parlimen dibubar pada hari Isnin lalu, mengapa Hadi tidak berani berkata BN ada penerima rasuah?

Oleh yang demikian, saya mendesak pihak polis dan SPRM mengambil keterangan daripada Hadi dengan segera kerana partinya pernah bersama-sama dengan BN dalam kerajaan dan kemungkinan besar Hadi memiliki maklumat tentang kesalahan rasuah yang melibatkan menteri-menteri BN dan parti-parti BN.

Selepas menunggang parti UMNO, kuda ini pula ditendang sekuat-kuatnya. Adakah ini satu cara kelakuan pemimpin PAS?

Lagi kenyataan yang paling membimbangkan adalah hasutan Hadi bahawa dalam Pakatan Harapan (PH) “ada puak komunis dan yang tolak raja pun ada”. Dakwaan Hadi itu dibuat tanpa memberikan apa-apa asas dan bukti.

Jika benar ada puak komunis dan yang menolak raja di dalam PH, maka saya cabar Hadi membuat laporan polis dalam masa 48 jam kerana ini melibatkan satu kesalahan yang amat serius dan perbuatan derhaka yang khianat terhadap Yang DiPertuan Agong dan negara.

Sekiranya Hadi gagal buat laporan polis tersebut, bermakna beliau telah berbohong dalam ceramah yang dibuatnya, dan beliau sepatutnya meminta maaf kepada Yang DiPertuan Agong dan rakyat.

Izinkan saya memetik sebuah hadis Riwayat Abdullah Ibn Mas’ud iaitu:

“Jauhilah kalian daripada sikap suka berbohong kerana berbohong akan membawa kepada perbuatan kemaksiatan, dan perbuatan kemaksiatan akan membawa ke Neraka. Jika sekiranya seseorang itu sentiasa berdusta, maka kelak dia akan dicatat di sisi Allah SWT sebagai pendusta.” -Hadith riwayat al-Bukhari: 6094

Jadi merujuk kepada apa yang pemimpin PAS sebut, seolah-olah mereka bercakap bohong dan boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni dalam negara.