Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) telah menyatakan bahawa tidak menjadi satu kesalahan bagi ahli politik, Timbalan Menteri atau Menteri untuk mengeluarkan surat sokongan. Akan tetapi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki harus menjelaskan sama ada surat sokongan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz yang mengesyorkan anak sendiri sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga merupakan satu kesalahan rasuah.
Ikmal telah mengeluarkan surat sokongan untuk lantik anaknya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga pada Jun 5 kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri. Ismail telah meminitkan dalam surat tersebut “Setuju” melantik anak Ikmal, kepada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera(LTAT), yang berada di bawah naungan Kementerian Pertahanan. LTAT adalah pemegang saham utama Pharmaniaga.
Jelas di sini, satu kesalahan telah dilakukan oleh Ikmal kerana menyalahgunakan jawatan Timbalan Menterinya untuk memanfaatkan anaknya. Malah Ikmal mengakui beliau telah bersalah kerana menulis surat sokongan melantik anaknya dan akan menarik balik surat tersebut. Namun, nasi sudah jadi bubur dan apa yang salah harus dikenakan tindakan oleh SPRM.
Kini timbul pula dakwaan baru bahawa ada seorang Timbalan Menteri lain yang telah melantik adik dan ahli keluarga sebagai penjawat awam dalam pejabatnya. Semua ini boleh berlaku kerana kegagalan Azam Baki mengambil tindakan ke atas mereka yang menggunakan jawatan awam untuk kepentingan peribadi, yang merupakan satu ramuan toksid (toxic cocktail) penyalahgunaan kuasa, nepotisme dan rasuah, yang kian menular dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Adakah Azam Baki akan menyiasat kes baru ini? Atau Azam Baki juga akan buat tidak tahu seperti kes Timbalan Menteri Pertahanan? Jangan biarkan slogan SPRM “adil tegas amanah” tinggal kata-kata kosong sahaja, digantikan dengan persepsi “antara dua darjat’ atau “double-standard” di antara VIP dan rakyat biasa.