Skip to content

Adakah Bantuan Bakul Makanan JKM melalui Pengumuman Khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI) disalurkan kepada parti politik di bawah Perikatan Nasional?

Pada 18 Januari 2021, Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat Pengumuman Khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI). RM50 juta telah diperuntukkan untuk Program Bakul Makanan yang merangkumi barang makanan keperluan bernilai RM100 bagi setiap isi rumah yang layak. Pelaksanaan Program Bakul Makanan ini diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Hampir 3 bulan selepas pengumuman Yang Berhormat Perdana Menteri, pihak kami di DUN Kampung Tunku, Selangor, masih tidak mendapat apa-apa maklumat tentang butir-butiran pelaksanaan program tersebut. Pada hari ini, kami dimaklumkan bahawa pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertempat di Kampung Tunku SS1 didapati mengedarkan bakul makanan yang menyerupai Bantuan Bakul Makanan JKM ini.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang berkuatkuasa pada 18 Mac 2020, beberapa Ahli Parlimen pembangkang telah mengedepankan isu bakul makanan yang tidak sampai-sampai ke golongan yang memerlukan di kawasan Parlimen pembangkang. YB Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Segambut, telah mendedahkan bahawa UMNO dan Bersatu Segambut telah mendapat bakul makanan JKM untuk diagihkan.

Lebih teruk lagi, pada April 2020, YB Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Cheras telah mendedahkan bahawa sejumlah 750 bakul makanan yang disediakan kerajaan untuk golongan berpendapatan rendah didapati terbiar di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak selama dua minggu.

Saya ingin bertanya 2 soalan kepada Yang Berhormat Menteri dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), iaitu:

  1. Apakah mekanisme pengedaran Bakul Makanan JKM di bawah Pakej Bantuan PERMAI?
  2. Adakah Bantuan Bakul Makanan JKM melalui Pengumuman Khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI) disalurkan kepada parti politik di bawah Perikatan Nasional?

Semoga Menteri dan Timbalan Menteri tidak membisu seperti Doraemon.