Skip to content

Adakah bekalan vaksin kita ketika ini kurang daripada anggaran kerajaan sebelum ini? Adakah kita akan mendapatkan 4 juta bekalan vaksin tambahan pada bulan Mei seperti yang dianggarkan?

Ketika rakyat Malaysia menjalani perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) selama lebih seminggu dengan jumlah positif Covid-19 harian tidak menunjukkan tanda penurunan, kita mula tertanya-tanya adakah PKP 3.0 akan dilanjutkan dan yang paling penting, bilakah kita akan dapat melihat ‘cahaya di penghujung terowong’?

Pastinya, banyak perkara mungkin bukan dalam kawalan kita seperti varian baharu. Walau bagaimanapun sekurang-kurangnya hal-hal lain seperti meningkatkan kecekapan dan kepantasan dalam mengesan, menguji dan pengasingan serta menguruskan pelaksanaan vaksinasi dilakukan dengan baik, untuk menurunkan jumlah kes dan keparahan kes positif. Pelaksanaan vaksinasi di United Kingdom (UK) menunjukkan dengan jelas bahawa vaksinasi
walaupun bukan sebuah senjata ajaib tetapi merupakan penyelesaian utama untuk krisis tersebut.

Izinkan saya menggambarkannya dalam bentuk angka. UK memulakan pelaksanaan vaksinasi mereka pada awal 2021. Pada awal tahun, kadar vaksinasi dos pertama kurang dari 3% sementara kadar vaksinasi penuh kurang dari 1%. Setakat ini, hampir 70% penduduk UK telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin dan sekitar 40% melengkapkan dua dos vaksin setakat ini. Jumlah kes positif Covid-19 mereka menurun dari lingkungan 60,000 sehari pada bulan Januari 2021 kepada lingkungan 2,000 kes positif setiap hari pada bulan Mei 2021. Dalam masa hanya 5 bulan pelaksanaan vaksin yang cekap, UK menyaksikan penurunan lebih daripada 95% kes positif!

Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Malaysia dilancarkan pada 24 Februari 2021. Pada 14 April 2021, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkongsi di media sosialnya anggaran keluk penawaran dan permintaan vaksin oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Semalam, dilaporkan bahawa JKJAV memberitahu, Malaysia telah memberikan 2.07 juta dos vaksin Covid-19 sehingga semalam. Andainya kadar penggunaan 70%, kita hanya menerima sekitar 2.95 juta bekalan vaksin. Walau bagaimanapun, daripada graf anggaran, kita seharusnya telah menerima sekitar 6 juta bekalan vaksin pada pertengahan Mei (anak panah merah). Adakah bekalan vaksinasi ketika ini kurang dari anggaran sebelumnya? Walaupun kita tidak menoleh ke belakang dan mencari kesalahan, graf turut menunjukkan bahawa pada bulan Mei, kita akan menerima 4 juta bekalan vaksin tambahan. Melihat
betapa mendesaknya pelaksanaan vaksinasi yang lebih cepat, dengan dua pertiga bulan Mei telah berlalu, kami ingin meminta penjelasan dari kerajaan sama ada anggaran 4 juta dos bekalan vaksin tambahan pada bulan ini akan tercapai? Dan adakah kerajaan akan mencari kaedah untuk mengimbangi kekurangan bekalan vaksin berbanding anggaran?

Dalam isu kekurangan vaksin, kerajaan tidak boleh menuding jari sepenuhnya kepada tingkah laku negara maju. Kita harus mencari jalan untuk melakukan yang lebih cekap terhadap apa yang boleh kita kawal. Sebagai contoh, Pharmaniaga menerima 200 liter vaksin Sinovac secara pukal untuk “fill-and-finish” pada 27 Februari 2021, namun kumpulan pertama vaksin Sinovac fill-and-finish tempatan (290,480 dos) hanya sedia diedarkan minggu lalu – lebih dari 10 minggu setelah menerima bekalan pukal. Kerajaan harus mengkaji semula proses tersebut dan jika boleh, mencari jalan untuk memendekkan proses pukal ke botol (tanpa menjejaskan keselamatan).

Secara keseluruhan, kami sekali lagi menyeru kerajaan untuk menggunakan pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat sehingga kita sebagai sebuah negara dapat mencapai sasaran vaksinasi yang telah ditetapkan sebelum ini, iaitu bekalan yang setara dengan 80% penduduk pada bulan Oktober dan 80% penduduk yang diberi vaksin sepenuhnya menjelang Februari 2022.

Pembangkang (parti dan negeri) serta sektor swasta bukanlah musuh kerajaan dalam hal ini, masih ada ruang untuk lebih banyak kolaborasi yang dapat dimanfaatkan oleh kerajaan agar kita dapat bersama-sama, memastikan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.