Saya merujuk kepada sebuah pautan yang sedang hangat ditularkan di Facebook berkenaan soalan lisan SPM yang berbunyi “Apakah perkahwinan idaman anda?”.
Soalan seperti ini langsung tidak sesuai dan tidak harus diberikan kepada pelajar Tingkatan 5 yang umur mereka baru 17 tahun. Mereka tidak sepatutnya fikir pun pasal perkahwinan kerana ada banyak lagi isu yang penting dalam kehidupan mereka seperti pencapaian akademik mereka, cukupkah usaha mereka di sekolah selama ini dan mampukah keluarga mereka membiayai yuran ke universiti idaman mereka.
Saya menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengesahkan bahawa soalan ini benar-benar ditanya dalam soalan lisan SPM, dan jika benar, memohon maaf kepada semua pelajar Tingkatan 5 yang terpaksa menjawab soalan sebegitu rupa dan ibubapa mereka. Pada masa yang sama, KPM perlu berikhtiar untuk memberi soalan yang lebih memartabatkan pelajar dalam masa hadapan.