Semalam, bekas menteri, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya diadakan pertembungan mingguan di antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan calon Perdana Menteri pembangkang semasa Parlimen bersidang.
Cadangan Khairy ini menarik dan patut dijadikan satu perkara biasa di mana-mana Parlimen.
Di House of Commons, pertembungan di antara Perdana Menteri Rishi Sunak dan Ketua Pembangkang Keir Starmer, sama ada mengenai isu polis atau imigrasi haram adalah satu perkara yang biasa berlaku.
Tetapi di Malaysia, perkara ini amat jarang sekali terjadi. Semua orang tahu yang Keir Starmer adalah calon Perdana Menteri pembangkang, tetapi adakah Hamzah Zainuddin, yang merupakan Ketua Pembangkang adalah calon Perdana Menteri pihak pembangkang?
Sekiranya Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan, hanya Muhyiddin Yassin atau Hadi Awang sahaja yang akan menjadi Perdana Menteri, bukan Hamzah yang berada di tempat kedua dalam barisan pimpinan Bersatu.
Apa yang lebih buruk lagi, ketiga-tiga mereka ini, baik Muhyiddin, Hadi, atau Hamzah, tidak pernah menghantar satu pun soalan sejak pengenalan Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Parlimen Malaysia dalam dua bulan yang lepas, memandangkan mereka selalu tidak ada di dalam dewan semasa sesi PMQ.
Malah, ada hantaran “orang hilang” mengenai Muhyiddin, Hadi, dan Hamzah yang berlegar di media sosial dengan tulisan: “sesiapa yang jumpa sila lapor pada Parlimen Malaysia…”.
Saya telah bertanya sebelum ini mengapa Muhyiddin Yassin tidak menjadi Ketua Pembangkang, atau sekurang-kurangnya Hadi Awang, memandangkan merekalah pemimpin sebenar Bersatu dan PAS dalam gabungan PN.
Saya telah meneka tiga sebab mengapa Muhyiddin tidak mahu menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen – kerana dia tidak mahu berhadapan dengan tiga isu, iaitu:
- Dia sebagai Perdana Menteri pintu belakang yang pertama, tidak berani menguji keabsahannya di Parlimen dengan undi percaya.
- Penggantungan Parlimen yang tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan.
- Kegagalan teruknya dalam mengendalikan wabak Covid-19 di Malaysia, yang telah menyebabkan negara kita berhadapan dengan gelombang penularan Covid-19 yang terpanjang di dunia dengan jumlah korban kematian yang melampau.
Kini, ada sebab keempat – skandal Jana Wibawa.
Saya tertanya-tanya dengan kekecohan yang cuba dibuat oleh Ahli-ahli Parlimen PN mengenai lawatan Anwar ke Arab Saudi dan kejadian di mana Anwar tidak berjumpa dengan Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed Salman Al Saud.
Hadi pernah direkodkan sebagai mengecam Arab Saudi sebagai lebih percaya dengan Israel dan Zionis berbanding dengan Allah dan Islam.
Sekiranya Hadi betul, maka Anwar patut dipuji kerana tidak berjumpa Raja dan Putera Mahkota Arab Saudi.
Hadi masih belum menafikan yang dia adalah seorang yang tidak diingini di Arab Saudi, dan kerana inilah dia tidak mengiringi Muhyiddin, Perdana Menteri pintu belakang Malaysia yang pertama, dalam lawatan rasminya ke Arab Saudi pada tahun 2021 walaupun Hadi merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.
Apakah pendirian Ahli-ahli Parlimen PAS mengenai kejadian Anwar tidak berjumpa dengan dengan Raja dan Putera Mahkota Arab Saudi?
Adakah mereka mengikut Muhyiddin atau Hadi?
Memang menjadi satu rahsia terbuka yang PN berharap Khairy akan menjadi “poster boy” PN dan menjadi Menteri Besar di Negeri Sembilan sekiranya PN menang dalam Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan pada bulan Julai atau Ogos ini.
Adakah Khairy akan bersetuju?