Skip to content

Adakah cadangan yang mengatakan Najib boleh mendapatkan semakan kedua dalam permohonan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC ini satu jenaka April Fool’s sedangkan negara kita memerlukan ketentuan dan penutup untuk kes ini untuk mencapai kestabilan politik?

Adakah cadangan yang mengatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, boleh mendapatkan semakan kedua dalam permohonan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC ini satu jenaka April Fool’s sedangkan negara kita memerlukan ketentuan dan penutup untuk kes ini untuk mencapai kestabilan politik?

Semalam, negara kita telah melepasi satu lagi ujian yang penting dalam Seratus Hari Pertama Kerajaan Perpaduan Anwar untuk memberikan keadaan yang diperlukan untuk kestabilan politik di Malaysia.

Saya direkodkan sebagai mengatakan sebelum ini yang saya amat yakin yang kerajaan perpaduan Anwar akan bertahan selama lima tahun, walaupun perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana konspirasi politik Langkah Sheraton kedua sentiasa menanti di setiap sudut.

Sidang Parlimen yang panjang selepas pembukaan Parlimen ke-15 oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang ke-16 akan berakhir pada minggu hadapan – hari Selasa hadapan untuk Dewan Rakyat, dan Khamis hadapan untuk Dewan Negara.

Amat malang sekali apabila tidak semua Ahli-ahli Parlimen telah menyahut seruan Yang di Pertuan Agong untuk bekerjasama mencapai kestabilan politik memandangkan sesetengah Ahli-ahli Parlimen telah melakukan perkara yang sebaliknya – untuk menggugat kestabilan politik dengan mempolarisasikan hubungan antara kaum dan agama di Malaysia dan menafikan hasrat baginda supaya Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri terakhir yang dilantik baginda sebelum berakhirnya tempoh penggal lima tahun pemerintahan baginda pada Januari tahun hadapan. Setakat ini, Ahli-ahli Parlimen ini gagal dalam objektif mereka.

Salah satu cara untuk membentuk kestabilan politik adalah untuk memastikan pertukaran kerajaan hanya boleh terjadi selepas undi kepercayaan terhadap Perdana Menteri dikalahkan di Dewan Rakyat – satu langkah yang pastinya akan menyelamatkan negara kita dari mempunyai Perdana Menteri pintu belakang yang dapat menggantung sidang Parlimen secara haram dan tidak sah atas alasan lain.

Satu lagi cara untuk membentuk kestabilan politik adalah dengan mengubah sumpah tanggungjawab yang dijunjung oleh Perdana Menteri, Menteri-menteri, dan Ahli-ahli Parlimen untuk merangkumi tanggungjawab menegakkan prinsip-prinsip pembinaan negara seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.

Tidak cukup untuk kita suruh para pelajar sekolah membaca lima prinsip ini, pada masa yang sama, kita perlu pastikan para pemimpin negara – Perdana Menteri, Menteri, dan Ahli-ahli Parlimen – sama-sama komited terhadap prinsip-prinsip ini.

Malaysia tidak boleh hanya menjadi “Benar-benar Asia” kepada para pelancong, tetapi juga kepada semua rakyat Malaysia.

Malaysia mempunyai peranan yang unik dalam hubungan antarabangsa – untuk menjadi contoh tauladan persefahaman, keharmonian, dan keamanan antara kaum, agama, dan tamadun kepada dunia, di mana terdapatnya “Perpaduan dari Kepelbagaian” kaum, bahasa, agama, dan budaya yang bertemu di Malaysia.

Menjadi satu tanggungjawab patriotik untuk semua rakyat Malaysia untuk berusaha ke arah menetapkan semula hala tuju negara mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asal negara untuk mencapai matlamat berganda menyatukan rakyat Malaysia dan menghentikan trajektori negara ke arah sebuah negara berpecah belah, gagal, dan kleptokratik, supaya kita dapat kembali menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.