Skip to content

Adakah GST akan dikurangkan?

GST merupakan cukai yang menjadi bebanan kepada rakyat jelata. Adakah kerajaan Barisan Nasional akan membuat kajian semula untuk menurunkan kadar 6% yang dikenakan buat masa ini? Kadar cukai 6% untuk pembelian barangan dan perkhidmatan adalah amat tinggi bagi negara kita. Tetapi, kita sedar bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak ada niat untuk menurunkan kadar cukai itu.

Kerajaan Barisan Nasional tidak bijak untuk mencari sumber pendapatan yang lain. Dalam keadaan ekonomi yang lemah, kerajaan Barisan Nasional telah memilih untuk perah dana dari kocek rakyat. Kerajaan telah meluluskan GST di Parlimen pada 1 April 2015, walaupun dibantah secara keras oleh pihak Pembangkang.

Dalam dua tahun pelaksanaan, GST telah menyuburkan inflasi di negara kita. Harga barang-barang telah meningkat. Kos sara hidup melonjak tinggi. Manakala, pendapatan pula tidak berubah. Ramai yang telah kehilangan pekerjaan. Kadar pengangguran negara juga telah bertambah.

Walaupun GST adalah sumber pendapatan yang penting untuk kerajaan Barisan Nasional, tetapi gagal menyelesaikan masalah ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat. Hari ini, rakyat bertambah miskin akibat kenaikan harga barangan. Justeru, adalah wajar untuk menghapuskan GST supaya penderitaan rakyat dapat dikurangkan.

Kerajaan Barisan Nasional sekurang-kurangnya harus memberi pertimbangan untuk mengurangkan kadar GST 6%. Ini harus dilakukan demi kesejahteraan dan tanggungjawab sosial terhadap rakyat yang telah memberi mandat kepada kerajaan ini. Jika tidak, rakyat harus memilih satu kerajaan baru yang lebih prihatin dan sanggup memansuhkan GST.

Dalam satu jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, buat masa ini kerajaan belum bercadang untuk mengubah kadar GST 6%. Ini kerana kadar tersebut ditetapkan setelah kajian yang terperinci dibuat oleh kerajaan. Dalam kata lain, kerajaan akan meneruskan cukai 6% bagi barangan dan perkhidmatan walau dalam apa jua keadaan sekali pun. Terbukti bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak akan tunduk kepada tuntutan rakyat untuk menghapuskan GST.

Pakatan Harapan sanggup mendengar rintihan rakyat dan memahami keperitan yang dilalui oleh rakyat Malaysia terutamanya golongan berpendapatan rendah. Oleh yang demikian, Pakatan Harapan telah berjanji bahawa GST akan dihapuskan dalam tempoh 100 hari setelah berjaya menjadi kerajaan baru di Putrajaya. Rakyat harus memberi sokongan penuh kepada Pakatan Harapan dalam PRU14 untuk merealisasikan hasrat ini.