Skip to content

Adakah Ismail Sabri akan menggunakan alasan kenaikan harga barang makanan dan keperluan asas terburuk dalam sejarah untuk melantik seorang lagi penasihat khas mengenai inflasi yang menelan kos gaji RM50,000 sebulan?

Adakah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan menggunakan alasan kenaikan harga barang makanan dan keperluan asas terburuk dalam sejarah untuk melantik seorang lagi penasihat khas mengenai inflasi yang menelan kos gaji RM50,000 sebulan. Ini berikutan pendedahan mengejutkan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Abdul Latiff Ahmad dalam jawapan bertulis parlimen kepada Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah bahawa Ismail akan melantik seorang lagi “penasihat khas” kesihatan di samping dua lantikan penasihat khas kepada perdana menteri – mengenai undang-undang dan hak asasi manusia serta hal ehwal agama.

Dengan inflasi pada tahap tertinggi bagi telur, ayam, roti, sayur-sayuran, minyak masak malah ais batu serta baja import, racun serangga dan bahan binaan dan buruh, Menteri-Menteri berkenaan telah menunjukkan ketidakcekapan dan ketidakberkesanan mereka. Walaupun rakyat sedang menderita setiap hari, tidak ada rancangan yang tersusun atau tindakan bersepadu untuk mengawal harga yang melambung tinggi selain cuba mengalihkan kesalahan kepada peniaga yang turut menjadi mangsa dalam krisis nasional ini.

Lebih memburukkan lagi apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi telah menukar kenyataannya sendiri untuk memulihkan kenaikan harga barang keperluan asas sebelum 9 Disember dengan enggan bertanggungjawab sekiranya gagal berbuat demikian pada masa itu. Memandangkan Menteri tidur atau tidak menjalankan kerja tidak boleh dipecat kerana majoriti Parlimen tipis yang dimiliki Ismail, adakah melantik Penasihat-Penasihat Khas akan menjadi jalan keluar kepada Ismail?

Apakah yang dilakukan oleh Penasihat-Penasihat Khas ini? Adakah mereka memberi kertas cadangan atau bermesyuarat dengan Perdana Menteri setiap minggu? Orang ramai ragu-ragu dengan pewujudan khas jawatan Penasihat Khas oleh Ismail sebagai alat politik untuk “membeli” sokongan. Tiada siapa yang dapat melihat keperluan untuk Penasihat-Penasihat Khas seperti itu melainkan jika Menteri-Menteri yang ada tidak menjalankan tugas mereka berhubung dengan undang-undang dan hak asasi manusia, hal ehwal agama dan kesihatan. Jika demikian, ketiga-tiga Menteri berkenaan hendaklah diberhentikan dengan segera.