Pada tahun 2012, Persatuan Alkitab Malaysia menyambut ulang tahun ke 400 AlKitab Bahasa Melayu. Salah satu acara yang dianjurkan semasa perayaan ini adalah majlis makan malam kesyukuran di mana beberapa ratus salinan AlKitab Bahasa Melayu yang telah ‘disimpan’ oleh pihak Kastam pada tahun 2011 diberikan kepada para hadiran. Saya mempunyai satu salinan itu di rumah saya di Petaling Jaya yang dicapkan dengan perkataan “Peringatan – AlKitab Berita Baik ini untuk kegunaan Penganut Agama Kristian Sahaja – dengan perintah Menteri Dalam negeri 16 Mac 2011”. Saya juga mempunyai salinan AlKitab Bahasa Melayu Kanak-kanak. Dalam kedua-dua versi Alkitab Bahasa Melayu ini, perkataan “Allah” digunakan. Di samping itu, perkataan “Rasul”, “Nabi”, “Firman” dan “Wahyu” juga digunakan.[1] Saya juga mempunyai salinan AlKitab Bahasa Indonesia di mana perkataan “Allah” digunakan.
Penganut Kristian di Semenanjung Malaysia dan di Sabah dan Sarawak telah menggunakan perkataan-perkataan ini dalam lagu-lagu ibadat, dalam solat, dalam khutbah dan dalam Alkitab Bahasa Melayu bertahun-tahunan tanpa mengganggu keharmonian dengan jiran-jiran dan kawan-kawan yang beragama Islam. Tidak ada sebarang bukti yang dihasilkan untuk menunjukkan bahawa Alkitab Bahasa Melayu ataupun masa ibadat dalam Bahasa Melayu sedang digunakan untuk menyebar agama Kristian di kalangan umat Islam di Malaysia. Oleh itu, penganut agama Kristian tidak sepatutnya tertakluk kepada Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam, 1988) oleh kerana Perkara 11 (3) dalam Perlembagaan Persekutuan melindungi hak setiap kumpulan agama untuk menguruskan hal ehwal mereka sendiri termasuk kegunaan perkataan-perkataan tertentu dalam kitab masing-masing.
Justeru itu, pencerobohan premis Persatuan Alkitab Malaysia oleh JAIS pada Khamis Januari 2, 2014, merupakan satu tindakan yang melanggarkan hak-hak perlembagaan Persatuan Alkitab Malaysia. JAIS perlu menghentikan dengan segera serbuan sebegini. Jika dilakukan secara keterlaluan, adakah JAIS akan serbu semua gereja-gereja di Selangor yang mengadakan masa ibadat dalam Bahasa Melayu di mana perkataan ‘diharamkan’ di bawah enakmen ini tentu akan digunakan? Adakah JAIS akan serbu semua tempat kediaman orang Kristian yang disyaki mempunyai Alkitab Bahasa Melayu, termasuk kediaman saya sendiri? Ini adalah tingkah laku yang tidak boleh diterima dalam masyarakat berbilang agama seperti Malaysia di mana kebebasan beragama dilindungi di bawah Perkara 11 dalam Perlembagaan Persekutuan.
[1] Perkataan berikut disenaraikan sebagai ‘Perkataan-Perkataan yang tidak akan digunakan berkaitan dengan ugama bukan Islam’ di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam, 1988): “Allah”, “Firman Allah”, “Ulama” , “Hadis”, “Ibadah”, “Kaabah”, “Kadi”, “Illahi”, “Wahyu”, “Mubaligh”, “Syariah”, “Qiblat”, “Haji”, “Mufti”, “Rasul”, “Iman “,” Dakwah “,” Injil “,” Salat “,” Khalifah “,” Wali “,” Fatwa “, “Nabi “,” Sheikh “.