Adakah kadar pengangguran belia yang tinggi sebanyak 13.9% pada Februari 2021, sebab mengapa Kerajaan PN enggan menunaikan janjinya untuk membenarkan umur pengundi diturunkan dari 21 kepada 18 (Undi18) menjelang Julai 2021, bertepatan dengan pilihan raya akan datang pada awal 2022? Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengatakan bahawa kadar pengangguran Malaysia sebanyak 4.8% pada bulan Februari lebih baik jika dibandingkan dengan negara-negara lain.
Perkara ini adalah subjektif dan satu penggunaan tautologi politik. Thailand, Singapura dan Vietnam mempunyai kadar pengangguran yang lebih rendah daripada Malaysia. Dan menyatakan bahawa kadar pengangguran lebih buruk di negara lain tidak dapat menyedapkan hati mereka yang menganggur dan membantu mereka yang menghadapi pengurangan sumber pendapatan atau tidak ada sumber pendapatan.
Kerajaan harus fokus meminjam lebih banyak wang dari pasaran hutang domestik bersaiz RM1.3 trilion bagi membelanjakan lebih banyak wang untuk menyelamatkan dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan. DAP kesal kerana tidak ada tindakan susulan oleh PN terhadap program MalaysiaKerja oleh PH yang dilancarkan dalam Belanjawan 2020 yang menawarkan insentif upah kepada pekerja yang tidak bekerja RM500 sebulan dan insentif pengambilan pekerja kepada majikan RM300 sebulan bagi jangka masa 2 tahun. Malangnya, PN enggan membelanjakan RM13 bilion yang diperlukan untuk mewujudkan 650,000 pekerjaan, yang akan membantu menyelesaikan pengangguran belia sebanyak 13.9% bagi mereka yang berumur antara 15 hingga 24 tahun, yang merangkumi 347,600 belia yang menganggur.
Lebih malang lagi, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan dan Menteri Ekonomi Mustapa Mohamad telah menolak untuk memastikan gaji minimum bulanan sebanyak RM1,200 dan sebaliknya meminta graduan menganggur menerima gaji bulanan sebanyak RM1,000 kerana ia lebih baik daripada tidak mempunyai pekerjaan. Mempertahankan gaji bulanan di bawah gaji minimum bukan sahaja salah dari segi undang-undang tetapi juga pengkhianatan terhadap hak pekerja.
Kegagalan untuk mewujudkan pekerjaan, terutama bagi golongan belia, pasti telah mengurangkan motivasi Kerajaan untuk melaksanakan Undi18 pada tarikh yang dijanjikan pada bulan Julai 2021 dan membiarkan Suruhanjaya Pilihan Raya menangguhkannya sehingga selepas September 2022. Pada masa itu, mereka yang berumur antara 18 hingga 20 tahun tidak akan dapat mengundi dan dengan itu tidak dapat memberi tekanan kepada kerajaan untuk memberi komitmen secara serius dalam mewujudkan lebih banyak pekerjaan. Ini mungkin apa yang cuba dielak oleh Kerajaan PN daripada berlaku dan sebab itu membenarkan penangguhan Undi18.