Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggesa Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein Onn menjelaskan status penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang, sama ada kawalan operasi telah diserahkan kepada Seaport Terminal milik jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari, terma penswastaan dan bagaimana penswastaan ini memberi manfaat kepada Pulau Pinang dan orang ramai, terutama apabila tidak ada tender kompetitif yang terbuka. Jika Kementerian Pengangkutan tidak dapat meyakinkan orang ramai mengenai manfaat sebenar pelaksanaan penswastaan tertutup ini, maka seharusnya tender terbuka yang kompetitif wajib diadakan.
Halatuju yang bercelaru, tanpa kepastian dan tidak jelas oleh Kementerian Pengangkutan terhadap masa depan Pelabuhan Pulau Pinang bukan sahaja merupakan satu kerugian kepada perniagaan logistik di Pulau Pinang tetapi juga boleh mengancam potensi Pulau Pinang untuk menjadi hab Pertumbuhan Segitiga antara Indonesia, Thailand dan Malaysia serta menjejaskan usaha Pulau Pinang untuk menjadi sebuah bandaraya antarabangsa dan pintar. Kementerian Pengangkutan mesti bertanggungjawab penuh atas kuasa yang diberikan kepada mereka bagi mengelola pelabuhan di negara ini. Kegagalan berbuat demikian, bererti mereka juga gagal mengubah masa depan rakyat kepada yang lebih baik.
Pada masa yang sama, adakah Kementerian Pengangkutan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menyelesaikan masalah di Stesen Keretapi Pelabuhan Daratan Padang Besar yang selama ini menghalang Pelabuhan Pulau Pinang dari mengaut pendapatan antara RM75 juta kepada RM100 juta setahun? Ditubuhkan pada tahun 1983, sempadan pelabuhan daratan diuruskan oleh Multimodal Freight Sdn Bhd milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan berdepan masalah kekurangan tanah dan pengendalian tidak cekap kargo yang datang dari Thailand.
Dilaporkan bahawa 500,000 TEU kargo di sempadan belah Thailand, tidak boleh di bawa masuk kerana pelabuhan daratan milik KTMB tidak dapat menampung “volume” sebesar itu. KTMB ketinggalan untuk menampung 120,000 TEU kerana kren mereka tidak mencapai standard yang sepatutnya. Jelas sekali, KTMB cekap menggerakkan penumpang tetapi tidak begitu cekap apabila melibatkan kontena.
Oleh itu, kargo dari Thailand yang gagal untuk memasuki Malaysia, dihantar keluar melalui pelabuhan di Phuket, Trang, Bangkok dan juga Singapura. Ini adalah salah satu sebab mengapa walaupun kewujudan tujuh kren Super Post Panamex yang boleh mengendalikan 8,000 TEU setiap kapal, Pelabuhan Pulau Pinang hanya berjaya mengendalikan satu juta TEU setahun, lima kali kurang daripada Pelabuhan Tanjung Pelepas yang bermula pada tahun 1989.
Satu lagi masalah adalah kegagalan kerajaan Persekutuan memenuhi janjinya untuk melaksanakan projek pengorekan laut yang melibatkan kos sebanyak RM 353 juta di Selat Utara Pelabuhan Pulau Pinang bagi membolehkan kontena maha besar berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang. Kelewatan 3 tahun kerja-kerja pengorekan laut dalam telah menyebabkan kehilangan banyak peluang perniagaan dan kemerosotan daya saing Pelabuhan Pulau Pinang, yang hanya boleh ditangani apabila masa depan Pelabuhan Pulau Pinang dan status perlaksanaan penswastaan dimuktamadkan.