Skip to content

ADAKAH KERAJAAN PERSEKUTUAN BERSEDIA MENYEMAK SEMULA PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN UNTUK PERKONGSIAN HASIL DI SAMPING APA YANG TELAH KERAJAAN NEGERI PEROLEH KINI

Pertanyaan Soalan Lisan saya pada pagi ini berhubung perkongsian hasil cukai negeri dalam usaha menyokong pembangunan serta program-program kebajikan dan sosial telah dijawab oleh Timbalan Menteri Kewangan. Pada sesi tersebut, saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana melaksanakan projek di negeri-negeri, akan tetapi perlu difahami juga bahawa negeri-negeri sememangnya menghadapi sumber yang terhad kerana Perlembagaan dan pungutan cukai yang tidak mencukupi untuk mengendalikan sesebuah Kerajaan Negeri.

Justeru, adakah Kerajaan Persekutuan akan menyemak semula Perlembagaan Persekutuan untuk model perkongsian hasil yang baharu, sebagai contoh pemberian 20 atau 30 peratus sebagai tambahan sumbangan yang telah Kerajaan Negeri peroleh kini. Jika ya, bilakah semakan tersebut akan dibuat dan jika tidak nyatakan mengapa?

Sebagai tambahan, sekiranya ingin disenaraikan, sumbangan Pulau Pinang terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sentiasa konsisten dan tidak wajar dinafikan. Namun, perhatian daripada Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan projek-projek pembangunan di Pulau Pinang hanyalah diperoleh dalam tempoh kira-kira lapan tahun kebelakangan ini sahaja. Walaupun begitu, sebagai sebuah negeri yang begitu terhad sumber aslinya, Pulau Pinang masih berupaya mengekalkan kedudukannya dan terus membangun sebagai salah satu negeri penyumbang utama hasilnya kepada negara sehingga kini.

Berasaskan ini, Batu Kawan merasakan bahawa adalah menjadi keperluan, dan sudah tiba masanya agar perkongsian hasil cukai negeri atau pulangan hasil kutipan dikembalikan kepada setiap negeri dilaksanakan. Kadar peratusan ini boleh dikaji, mungkin secara berperingkat pada kadar bersesuaian. Malah, sudah tiba masanya juga, Kerajaan Persekutuan membuat semakan serta menambah baik ‘Model Perkongsian Hasil Persekutuan-Negeri’ yang dipraktikkan kini kepada semua negeri.

Lazimnya, sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada negeri kini adalah melalui peruntukan pembangunan iaitu pelaksanaan projek-projek fizikal meliputi skop projek Persekutuan seperti pengangkutan, pendidikan dan kesihatan. Adalah ditekankan bahawa tuntutan yang dikemukakan ini adalah penyaluran peruntukan di bawah belanja mengurus yang mana Kerajaan Negeri mempunyai kebebasan untuk menentukan bentuk perbelanjaan bagi menampung keperluan negeri yang dinamik dan pelbagai.

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEEMPAT,
PARLIMEN KELIMA BELAS 2025

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : YB TUAN CHOW KON YEOW [BATU KAWAN]
TARIKH : 25 OGOS 2025 (ISNIN)

SOALAN

YB Tuan Chow Kon Yeow [Batu Kawan] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sama ada Kerajaan Persekutuan akan berkongsi hasil cukai negeri dalam usaha menyokong pembangunan serta program-program kebajikan dan sosial yang dilaksanakan. Jika tidak, apakah pendekatan yang akan diambil sebagai pulangan kembali kepada hasil kutipan yang dikutip.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan sentiasa menyokong pembangunan serta program-program kebajikan dan sosial yang dilaksanakan di negeri-negeri. Pendekatan yang diambil sebagai pulangan kembali kepada hasil kutipan yang dikutip negeri adalah melalui mekanisme Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri dan peruntukan tahunan berdasarkan Belanjawan yang diluluskan.

2. Pemberian ini disediakan secara geran tahunan dan disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri masing-masing selaras dengan peruntukan yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri dan juga keputusan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara.

3. Hasil yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan disalurkan kembali kepada semua negeri melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan Kerajaan Persekutuan meliputi aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan, pengangkutan dan sebagainya. Sebagai contoh, pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, Projek Membina Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai di Kelantan, Central Spine Road di Pahang dan Kelantan dan projek Landasan Keretapi Berkembar Gemas-Johor Bahru.

4. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebanyak RM2.5 bilion pada tahun 2025. Antara projek pembangunan yang dilaksanakan di Negeri Pulau Pinang adalah Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang dengan anggaran kos sebanyak 16.82 bilion ringgit, Pembesaran Empangan Mengkuang dengan anggaran kos sebanyak 1.2 bilion ringgit serta Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Kumbahan dan Pembinaan Rangkaian Paip Pembetungan di Mak Mandin dengan anggaran kos sebanyak 667.0 juta ringgit.

5. Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Negeri Pulau Pinang juga telah meningkat pada tahun 2025 sebanyak 360 juta ringgit berbanding tahun 2024 sebanyak 352 juta ringgit. Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) kepada Negeri Pulau Pinang antara menerima peruntukan terbesar di bawah Pemberian Kerajaan Persekutuan iaitu sebanyak RM225 juta bagi tahun 2025 berbanding RM222 juta bagi tahun 2024.

Sekian, terima kasih.