Saya benar-benar teruja dengan penghasilan kit histeria oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP). Ini bukan sahaja satu perkara yang amat baru buat rakyat Malaysia, tetapi juga dalam bidang akademik dunia.
Pastinya sesuatu yang begitu inovatif akan menarik minat ramai pihak dari luar negara terhadap ciptaan yang dilaporkan berharga RM8,750 ini.
Namun sebelum kita pergi lebih jauh, saya teringin mahu tahu sama ada kit histeria ini telah diluluskan penggunaannya oleh badan pengawal selia agama Islam di Malaysia, JAKIM. Alangkah baiknya jika pihak JAKIM boleh menguji keberkesanan kit ini dan mengiktiraf kepatuhan kit tersebut dari segi syariah.
Saya teringin juga mahu tahu apa metodologi yang akan digunakan oleh pihak JAKIM bagi mengesahkan keberkesanan kit histeria tersebut. Pastinya pihak UMP turut boleh memberikan garis panduan kepada pihak JAKIM mengenai bagaimana pihak universiti tersebut telah menguji kit mereka secara empirikal, sesuai dengan peranan UMP sebagai sebuah institusi akademik.
Sekiranya ujian tersebut berjaya serta disahkan oleh JAKIM, pastinya nama UMP dan nama negara akan menjadi sebutan media antarabangsa, kerana pastinya penemuan seperti ini julung-julung kali berlaku di dunia.
Namun sebaliknya jika dakwaan dan jaminan UMP terhadap kit ribuan ringgit yang mengandungi bahan-bahan dapur tersebut hanyalah sekadar tipudaya belaka, kerajaan mesti mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat kerana telah memalukan negara.
Di saat universiti serata dunia menyibukkan diri dengan penemuan-penemuan saintifik, universiti tempatan memilih untuk menjual perkakas dapur dengan harga tinggi, dengan alasan ia mampu memerangi makhluk halus.
Sedikit hari lagi, barangkali bomoh kelapa pun akan turut dianugerahkan ijazah doktor kehormat oleh UMP.