Skip to content

Adakah kita memerlukan semakan semula Belanjawan 2015 berserta unjuran defisit fiskal yang baru pada 3.4 peratus, yang lebih tinggi berbanding unjuran 3 peratus KDNK sebelum ini ekoran kejatuhan sehingga 20 peratus harga minyak mentah?

DAP berharap agar Kementerian Kewangan dapat menjelaskan kesan negatif kejatuhan harga minyak mentah terhadap Belanjawan 2015 berjumlah RM273.9 bilion, yang merangkumi RM223.4 belanja pengurusan dan RM50.5 belanja pembangunan. Ini kerana Belanjawan 2015 amat bergantung kepada hasil minyak.

Pada tahun 2013, hasil minyak berjumlah RM63 bilion merangkumi 29.5 peratus daripada jumlah hasil kerajaan, termasuk pendapatan daripada cukai dan royalti berjumlah RM36 bilion dan dividen Petronas sebanyak RM27 bilion. Menurut Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2015, hasil minyak dikira berdasarkan harga minyak mentah (Tapis) pada USD110 segelen pada tahun 2014, dan USD105 segelen pada tahun 2015.

Harga minyak mentah telah jatuh pada tahap terendah dalam empat tahun, dengan USD80-85 segelen pada dua minggu terakhir ini. Menurut anggaran yang dilaporkan The Edge Financial Weekly, kejatuhan setiap USD1 akan menyebabkan kerajaan kehilangan hasil kira-kira RM650 juta. Kejatuhan sebanyak 10 peratus akan meningkatkan defisit fiskal sebanyak 0.2 peratus, walaupun selepas mengambil kira pemotongan subsidi minyak.

Jelas, anggaran harga minyak pada USD110 segelen untuk tahun 2014 dan USD105 segelen untuk tahun 2015 adalah terlalu optimis dan tidak realistik. Dengan kemungkinan bahawa harga yang lebih rendah – dengan kadar penurunan sehingga 20 peratus – menjadi standard baru, ada keperluan kepada pengiraan belanjawan yang baru ekoran kurangnya hasil minyak ini. Dengan kata lain, kejatuhan 20 peratus harga minyak mentah akan menyebabkan defisit fiskal memburuk sebanyak 0.4 peratus daripada KDNK.

Pembelanjawanan adalah hal yang dinamik. Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak mempunyai kewajipan moral dan tugas berkanun untuk sentiasa memberikan maklumat terbaru kepada Parlimen, terutama apabila asas kepada belanjawan tidak lagi tepat. Adakah kita memerlukan semakan semula Belanjawan 2015 berserta unjuran defisit fiskal yang baru pada 3.4 peratus, yang lebih tinggi berbanding unjuran 3 peratus KDNK sebelum ini ekoran kejatuhan sehingga 20 peratus harga minyak mentah?