Presiden PAS, Hadi Awang, terus-menerus menabur pelbagai bentuk tuduhan terhadap orang lain, sehingga perlu ditanya persoalan, adakah Tun Dr. Mahathir Mohamad juga merupakan Gurkha DAP semasa dia menjadi Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan dari Mei 2018 hingga Februari 2020 dan dia perlu ditumbangkan oleh konspirasi politik Langkah Sheraton.
Hadi telah terbukti sebagai seorang pemimpin politik yang paling tidak jujur, tidak bertanggungjawab, dan tidak boleh dipercayai di Malaysia, kerana dia langsung tidak mampu untuk memberikan satu bukti sekalipun untuk tuduhan-tuduhannya yang mengatakan kononnya DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, komunis, dan mempromosikan Islamofobia.
Dia juga gagal untuk menjelaskan sama ada saya ini seorang yang anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, komunis, dan mempromosikan Islamofobia semasa dia mendekati saya pada tahun 2014 bersama-sama dengan pemimpin PAS yang lain untuk mencadangkan supaya Tengku Razaleigh Hamzah dipilih untuk menggantikan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, sedangkan Tengku Razaleigh tidak ada dalam Pakatan Rakyat pun ketika itu?
Tidak ada juga sebarang tuduhan yang mengatakan saya sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, komunis, dan mempromosikan Islamofobia semasa Muhyiddin Yassin mendekati saya secara bermuslihat di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada tahun 2016 untuk mendapatkan sokongan DAP supaya dia dapat menjadi Perdana Menteri – yang mana saya telah tolak kerana DAP komited dengan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Tetapi Hadi kini telah mengeluarkan tuduhan baru sekali lagi – dia menuduh UMNO dan Amanah sebagai kononnya “Gurkha DAP”.
Adakah Mahathir ini bertindak sebagai Gurkha DAP ketika dia mengumumkan dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bahawa Malaysia akan meratifikasi semua perjanjian-perjanjian antarabangsa, yang telah menyebabkan Hadi untuk menyerang DAP secara besar-besaran kerana kononnya menjadi dalang di sebalik rancangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa tentang Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD)?
Sebenarnya, DAP langsung tidak tahu apa-apa mengenai ucapan Mahathir di Perhimpunan Agung PBB.
Menteri Luar Negeri ketika itu kini ada dalam Bersatu. Adakah Mahathir ini Gurkha Bersatu?
Mudah sebenarnya untuk kita melihat kepada arkib silam dan mencari video di mana Muhyiddin Yassin melabel PAS sebagai “parti ajaran sesat”.
Adakah Muhyiddin kini sudah menjadi Gurkha Hadi atau Hadi yang menjadi Gurkha Muhyiddin.
Hadi sudah menjadi rakan akrab Mahathir – nampaknya Hadi juga boleh berkawan dengan seorang Gurkha DAP!