Skip to content

Adakah MAPS bakal menjadi satu lagi projek gagal di bawah pentadbiran Kerajaan BN Perak dan akan menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit kepada Kerajaan Negeri?

Pada tarikh 15/2/2018, satu perintah penggulungan syarikat telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur terhadap The Sanderson Design Group (Malaysia) Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Daya Sejahtera Sdn Bhd)(selepas ini disebut sebagai ‘Sanderson’). Seorang juru liquidasi telah dilantik untuk mengambil alih pengurusan Sanderson.

Sanderson merupakan kontraktor utama Movie Animation Park Studios ( MAPS ) di Ipoh dan melalui RSG MAPS Sdn Bhd, merupakan seorang pemegang besar saham di dalam projek tersebut. Sanderson memiliki 70% saham dalam RSG MAPS Sdn Bhd. Peranan Sanderson dalam MAPS adalah bagitu penting sekali kerana butir-butir terperinci projek ini ada dalam pengetahuan Sanderson selaku kontraktor utama projek ini.

MAPS telah dimajukan oleh Animation Theme Park Sdn Bhd dimana 49% sahamnya dimiliki oleh RSG MAPS Sdn Bhd dan 51% saham pula dimiliki oleh Development Sdn Bhd. PCB Development Sdn Bhd merupakan sebuah agensi kerajaan negeri Perak yang dimiliki sepenuhnya oleh Perak Corporation Bhd.

Carian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan Animation Theme Park Sdn Bhd mempunyai kemudahan pinjaman sebanyak RM280 juta dengan Affin Investment Bank Bhd.

Lawatan saya baru-baru ini ke MAPS menunjukkan bahawa pada hari biasa hanya sekitar 200 orang pengunjung yang mengunjung taman tema ini. Lebih separuh daripada taman tema masih tidak beroperasi walaupun ianya telah dibuka kepada orang ramai sejak 26 Jun 2017. Adakah sebahagian besar taman tema ini belum boleh beroperasi ada kaitan dengan masalah yang dihadapi oleh Sanderson ? Perbelanjaan mengurus taman tema ini kini dengan nyata jauh melebihi pendapatannya dan sekiranya tiada langkah-langkah yang diambil untuk memperbaiki keadaan, kerugian lebih besar akan dialami oleh MAPS.

Apa yang akan berlaku seterusnya kepada MAPS dengan perintah liquidasi dikeluarkan terhadap kontraktor utama yang juga merupakan seorang pemegang saham besar projek ini ? Adakah projek ini akan menjadi sebuah projek gajah putih yang bakal membawa kepada kerugian ratusan juta ringgit terhadap kerajaan negeri Perak? Apa langkah-langkah yang sedang diambil oleh agensi kerajaan negeri, PCB Development Sdn Bhd sebagai pemegang saham majoriti di dalam MAPS untuk mengatasi masalah ini ?

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Zambry Bin Abdul Kadir perlu memberikan jawapan segera terhadap persoalan-persoalan ini kerana kegagalan MAPS bakal membawa kerugian berjumlah ratusan juta ringgit kepada kerajaan negeri.