Setelah Tun Dr Ling Liong Sik menerima surat tuntutan daripada peguam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ekoran laporan menuduh beliau ‘mengambil wang rakyat dan dimasukkan ke akaun peribadinya’, Perdana Menteri kini tidak mempunyai pilihan selain turut memulakan tuntutan undang-undang terhadap Tun Dr Mahathir Mohamed yang menuduhnya ‘mencuri duit’ seandainya benar Najib tidak mencuri duit.
Adakah MCA pula akan memutuskan hubungan dengan Tun Dr Ling ekoran tuduhan beliau terhadap Najib Razak atau adakah MCA akan cuba membantu Tun Dr Ling dan mendesak Najib Razak untuk menjelaskan kepada orang ramai siapakah penyumbang ‘derma’ RM2.6 bilion tersebut, serta apa niat si penyumbang dan di manakah juga wang tersebut sekarang?
Akar umbi MCA patut minta supaya parti MCA mengadakan mesyuarat tergempar bagi membolehkan ahli akar umbi memutuskan sama ada parti akan membiarkan Tun Dr Ling berhadapan sendiri dengan saman Najib Razak ini, atau parti akan menyokong bekas presidennya itu demi menemukan kebenaran di sebalik skandal RM2.6 bilion dan skandal 1MDB.
BERSIH semalam telah membentangkan akaunnya serta mendedahkan perbelanjaannya seperti yang telah ia janjikan sebaik sahaja selesai perhimpunan Bersih 4. Adakah MCA dan parti-parti komponen BN akan mendesak Najib Razak untuk mendedahkan butir-butir di sebalik skandal RM2.6 bilion akaun peribadinya pula?
MCA dijangka akan berpihak kepada Najib Razak, dan terus mendiamkan apa sahaja persoalan terhadap skandal kewangan yang melibatkan pengerusi Barisan Nasional itu dan MCA akan terus diingati sebagai parti Cina yang tidak relevan serta pengecut.