Skip to content

Adakah MCA dan Gerakan keluar BN berikutan ADUN UMNO yang sokong Hukum Hudud?

Kebelakangan ini, MCA dan Gerakan menyerang DAP setiap hari dengan mendesak DAP untuk tarik diri daripada Pakatan Rakyat dan pada masa yang sama, juga mendesak pemimpin-pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng untuk meletak jawatan.

Dengan ADUN-ADUN UMNO turut menyatakan sokongan mereka terhadap Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 ketika rang undang-undang tersebut dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan pagi ini, maka kami ingin bertanyakan MCA dan Gerakan sama ada kedua-dua parti akan keluar BN, dan adakah Presiden MCA Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan Mah Siew Keong akan meletakkan jawatan-jawatan mereka berikutan kegagalan mereka untuk menghalang hukum hudud diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan?

Semua hujahan MCA dan Gerakan terhadap DAP, dapatlah dijadikan bola tanggung kepada MCA dan Gerakan memandangkan UMNO kini yang menyatakan sokongan padu mereka terhadap hokum hudud. Perbezaan ketaranya, pendirian DAP terhadap hukum hudud masih tidak akan berubah. Bagi MCA dan Gerakan pula, adakah mereka dapat mengkritik UMNO secara lantang dan terbuka?

Dengan nada yang sebak, ADUN UMNO bagi Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad telah menyatakan sokongan UMNO terhadap hukum hudud ketika menyertai perbahasan terhadap Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 dan bukannya untuk tujuan politik semata-mata. Dengan persidangan DUN Kelantan ditangguhkan sehinga keesokan hari, maka MCA dan Gerakan dalam saat-saat terakhir ini harus menggunakan pengaruh mereka dalam BN untuk mengubah pendirian UMNO yang ingin menzahirkan sokongan terhadap hukum hudud.

Seperti yang dikatakan oleh Mah Siew Keong, jikalau hukum hudud tidak dapat dihalang buat masa ini, susah bagi kita menghalangnya pada masa yang akan datang. Dalam konteks yang sama, jikalau MCA dan Gerakan tidak menghalang UMNO untuk menaruh sokongan terhadap hukum hudud buat masa ini, adalah jauh lebih susah bagi MCA dan Gerakan untuk menghalang UMNO daripada terus menaruh sokongan terhadap usul atau rang undang-undang persendirian yang berkaitan dengan hukum hudud yang bekal dibentangkan oleh ahli-ahli Parlimen Pas di Dewan Rakyat, Parlimen nanti.

Maka, selain daripada terus mengkritik dan menyerang DAP, MCA dan Gerakan harus mempengaruhi UMNO supaya mereka tidak menyokong Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 apabila ianya perlu diputuskan dalam DUN Kelantan besok. Pada masa yang sama, semua parti politik termasuknya parti-parti dari Barisan Nasional, dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan perlu memberi tekanan yang sama kepada UMNO supaya tiada sokongan diberi terhadap apa-apa rang undang-undang persendirian atau usul yang berkaitan dengan hukum hudud yang akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat, Parlimen kelak.

Adalah betapa pentingnya pendirian yang diambil oleh wakil-wakil rakyat UMNO terhadap rang undang-undang yang berkaitan dengan hukum hudud. Hanyalah UMNO yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan hukum hudud untuk dilaksanakan. Serangan yang bertubi-tubi terhadap DAP atau Pakatan Rakyat secara keseluruhannya tidak dapat menyebabkan Pas terus menangguhkan rancangannya supaya hukum hudud dilaksanakan di negeri Kelantan.

Walaupun dengan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 telah dibentangkan dalam DUN Kelantan pagi ini, DAP tetap tidak berganjak daripada pendirian yang kami pegang selama ini terhadap hukum hudud. Kami juga berharap MCA dan Gerakan supaya tidak gentar dengan UMNO, malah terus berusaha dalam saat-saat yang genting ini supaya pendirian UMNO terhadap hukum hudud dapat diubah apabila ianya perlu diputuskan besok.

Memang jelas bagi DAP bahawa kita tidak akan menyokong pelaksanaan hukum hudud sama ada di negeri Kelantan atau di peringkat kebangsaan. Kami juga tidak meleraikan tanggungjawab kami untuk terus memberi tekanan terhadap Pas. Manakala bagi MCA atau Gerakan, adakah mereka setakat berlakon atau bersikap jujur dalam pendirian mereka terhadap hukum hudud, ianya dapat diuji melalui sikap mereka terhadap pemimpin-pemimpin dan wakil-wakil rakyat UMNO yang telah menyatakan sokongan mereka terhadap Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 yang kini masih dibahaskan dalam DUN Kelantan.