Skandal korupsi bertahap mega, salahguna kuasa dan tadbir urus buruk pemerintahan Najib Razak dan Barisan Nasional sudah diketahui umum. Namun rakyat tetap menunggu satu gabungan yang kuat untuk menggantikan Barisan Nasional sebagai kerajaan Persekutuan. Dari sinilah timbulnya hasrat di kalangan rakyat untuk melihat pembangkang persekutuan bersatu tenaga menewaskan Barisan Nasional dan membentuk kerajaan baru.
Atas keperluan mendesak menyelamatkan Malaysia daripada tangan-tangan kleptokrat, Lim Kit Siang telah menghulurkan salam perdamaian kepada PAS, mengajak agar diutamakan usaha menyelamatkan Malaysia ini terlebih dahulu. Meletakkan agenda bersama pembangkang Persekutuan yang disokong oleh kebanyakan rakyat berbanding perkara-perkara lain. Malang sekali, salam perdamaian itu ditepis dengan kasar sekali. Dengan alasan Lim Kit Siang dan DAP anti-Islam. Tuduhan yang biasanya dilontarkan oleh UMNO.
Apakah sebenarnya keutamaan pembangkang ketika ini? Sebagai seorang yang pernah berada dalam kelompok usrah dan mengalami sendiri tarbiyah PAS di kampus, saya masih ingat dalam tamrin demi tamrin seringkali diselitkan bahawa menentang pemimpin zalim itu adalah keutamaan gerak kerja siasah atau politik jemaah. Berulang kali kami diingatkan bahawa Allah berfirman, “Janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka,” (Surah Hud ayat 113)
Malah sering diulang-ulang baik ketika tamrin mahupun kuliah kata-kata Sufyan at-Tsauri bahawa tukang jahit baju pemimpin yang zalim itu sendiri termasuk dalam kelompok zalim. Jika diturut apa yang diajarkan itu, keutamaan PAS tentulah senada dengan seruan Lim Kit Siang untuk menyelamatkan negara dari kezaliman-kezaliman UMNO/BN.
Apakah bagi PAS, UMNO di zaman Najib Razak, sudah tidak zalim lagi meskipun pelbagai undang-undang mengarut digunakan menekan pejuang-pejuang rakyat dan kleptokrat berleluasa menyamun kekayaan negara?
Kerusi-kerusi DAP tidak akan terjejas teruk tanpa kerjasama dengan PAS. Namun atas jiwa besar dan mahu melihat pembangkang dalam satu saf yang kukuh, sekurang-kurangnya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru, DAP menghulurkan salam perdamaian.
Sekiranya PAS di Selangor boleh duduk di dalam satu mesyuarat yang sama dengan DAP dan mengutamakan isu-isu lebih utama dan dipersetujui bersama, tiada sebab mengapa perdamaian paling minima tidak boleh dicapai di peringkat Persekutuan yang lebih mendesak. Apakah PAS di Selangor tidak cukup PAS kerana masih sanggup duduk semeja, meski tanpa kerjasama politik, dengan mereka yang dituduh musuh Islam?
Tentu rakyat ingin tahu, adakah PAS setuju bahawa Malaysia di bawah pemerintahan kleptokrasi, adakah PAS mahu bersama blok pembangkang termasuk DAP untuk menentang kleptokrasi? Salam perdamaian sudah dihulur dan ditepis dengan tuduhan buruk dan hinaan. Kini biarlah rakyat menghakimi, siapa yang menjunjung kepetingan rakyat dan negara, dan siapa pula yang tidak.