Hari ini adalah hari penamaan untuk pilihan raya kecil parlimen Pulai dan dewan undangan negeri Simpang Jeram yang perlu dijalankan selepas pemergian wakil rakyatnya sebelum ini, Salahuddin Ayub.
Para pemimpin PAS melihat kedua-dua pilihan raya kecil di Johor ini sebagai “gerbang” untuk “gelombang Perikatan Nasional” untuk tersebar ke Johor dan memenangi negeri tersebut, dan mereka telah menggesa para pengundi di Pulai dan Simpang Jeram untuk “bereksperimen” untuk memastikan “gelombang PN” dapat dikekalkan dan untuk menghantar tanda yang kuat kepada Pakatan Harapan dan BN.
Para pengundi di Pulai dan Simpang Jeram perlu melakukan perkara yang sebaliknya dan memberikan kekalahan besar kepada Perikatan Nasional dan PAS untuk menunjukkan yang para pengundi di Johor tidak mahu PAS untuk memerintah Johor dan menjadikan negeri tersebut salah satu dari negeri termiskin di Malaysia seperti Kelantan.
Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, KDNK per kapita Kelantan berada pada paras kira-kira separuh dari KDNK per kapita Malaysia. Selepas lebih dari tiga dekad diperintah PAS, KDNK per kapita Kelantan telah jatuh kepada paras satu per tiga KDNK per kapita Malaysia.
Sekiranya PAS terus memerintah Kelantan dan tidak mengubah caranya, KDNK per kapita Kelantan mungkin akan terus jatuh kepada paras suku kadar KDNK per kapita negara semasa negara kita menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun 2057!
Saya tidak percaya ada mana-mana negeri di Malaysia yang mahu mempunyai KDNK per kapita pada paras hanya suku dari KDNK per kapita nasional, sebaliknya, rakyat mahu negeri mereka menjadi seperti Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan yang mempunyai kadar KDNK per kapita di atas garisan purata kebangsaan.
PN dan PAS mencatatkan kemajuan dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos kerana mereka telah mengekploitasi isu-isu 3R dan menerima manfaat dari kebanjiran penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian yang berleluasa di media sosial.
Presiden PAS, Hadi Awang, misalnya, masih gagal untuk berikan satu pun bukti untuk tuduhan liar dan tidak masuk akalnya yang mengatakan kononnya DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, komunis, dan mempromosikan Islamofobia – membuktikan bahawa dia adalah salah seorang pemimpin politik yang paling tidak jujur, tidak bertanggungjawab, dan tidak boleh dipercayai di dalam negara.
Islam, seperti agama-agama lain, tidak mengajar umatnya untuk menggunakan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian untuk mendapatkan sokongan dan undian.