Sejak dari bermula Muktamar Tahunan PAS dan Dewan-Dewan PAS Pusat sehingga kini, pimpinan PAS semakin galak mengeluarkan kenyataan-kenyataan palsu dan berunsur jahat kepada Pakatan Harapan. Hari ini, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sekali lagi mengeluarkan kenyataan jahat kepada Pakatan Harapan. Adakah mereka terlalu rindu untuk bersama dengan kami semula sehingga tidak putus-putus menyebut perihal kami?
Hadi mendakwa PAS tidak akan bersama dengan Pakatan Harapan kerana ramai pemimpin Pakatan Harapan yang tidak beriman dan tidak bermoral. Namun sedarkah Hadi bahawa mereka kini sekatil dan sebantal, berkongsi kasih dan mimpi bersama UMNO yang penuh dengan pemimpin yang korup juga Bersatu yang merupakan dalang kepada Langkah Sheraton?
Adakah pemimpin-pemimpin UMNO dan Bersatu itu beriman dan mempunyai moral yang tinggi?
Melalui pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, walaupun hanya bertahan selama 22 bulan sahaja, namun Pakatan Harapan berjaya membawa pemimpin yang korup ke muka pengadilan. Namun PAS yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah, masih gagal untuk menyelesaikan krisis harga barangan yang semakin membebankan rakyat. Bahkan di negeri yang mana PAS menjadi kerajaan, rakyatnya hidup dengan penuh kesusahan. Adakah ini yang dimaksudkan oleh Hadi “menegakkan keadilan yang menyeluruh kepada rakyat”? Justeru pada pandangan saya, PAS sebenarnya adalah mudarat kepada rakyat Malaysia.
Saya menyarankan agar PAS cermin dahulu diri sendiri sebelum mengeluarkan kata-kata jahat kepada orang lain. PAS perlu muhasabah dan perbaiki kelemahan diri sendiri bukan hanya sibuk menunding jari kepada kesalahan pihak lain dan mengeluarkan kenyataan jahat terhadap orang lain.